Biasiswa negeri bantu belia ceburi TVET, tingkat kebolehpasaran

13 Jan 2026, 1:59 PM
Biasiswa negeri bantu belia ceburi TVET, tingkat kebolehpasaran
Biasiswa negeri bantu belia ceburi TVET, tingkat kebolehpasaran

SHAH ALAM, 13 JAN: Biasiswa pendidikan Kerajaan Selangor membuka peluang kerjaya berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membantu belia membina kehidupan lebih stabil.

Alumni Akademi Carsome, Fairuz Ilham Ahmad Kamal, 23, berkata biasiswa Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) menjadi faktor utama sehingga beliau berjaya diserap bekerja di syarikat automotif Carsome.

“Sebelum menyertai program ini, kehidupan saya berbeza. Hanya dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah syarikat automotif tanpa hala tuju jelas.

“Setelah mengenali Akademi Carsome melalui Instagram, saya cuba memohon dan Alhamdulillah diterima. Tambahan pula, biasiswa Iktisass meringankan beban bapa saya sepanjang 12 bulan pengajian di sini,” katanya.

Fairuz Ilham Ahmad Kamal

Beliau ditemui ketika Majlis Penyerahan Anugerah Biasiswa Hero-in-Auto Yayasan MBI yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Carsome Certified Lab, Bukit Raja hari ini.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut menggalakkan belia meneroka bidang TVET sebagai alternatif kepada laluan akademik konvensional.

“Kepada belia, beranilah melangkah lebih jauh. Jika tidak berminat dalam bidang akademik, TVET adalah pilihan yang sangat baik,” katanya.

Muhammad Afiq Haziq Md Zulkarnain

Sementara itu, Muhammad Afiq Haziq Md Zulkarnain, 19, menyifatkan biasiswa itu sebagai laluan untuk merealisasikan usaha kerasnya ke arah kerjaya jangka panjang.

“Saya memang minat bidang automotif sejak kecil. Di Akademi Carsome, kami diberi pendedahan meluas. Terima kasih kepada Yayasan MBI yang membantu meringankan beban yuran sepanjang pengajian,” katanya.

Muhammad Fakhrul Aiman Usmadi

Bagi Muhammad Fakhrul Aiman Usmadi, 23, biasiswa berkenaan membolehkannya meneruskan pengajian tanpa membebankan keluarga.

“Biasiswa ini membantu saya menyambung pengajian dan mengurangkan komitmen bapa. Di Akademi Carsome, saya yakin kami boleh pergi jauh kerana ia diiktiraf dan menyediakan banyak ilmu berguna,” katanya.