KLANG, 13 JAN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus memperkasakan belia melalui tajaan Biasiswa Hero-in-Auto berjumlah RM115,000 kepada lapan pelajar Akademi Carsome.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato' Ts Saipolyazan M. Yusop berkata tajaan itu merangkumi yuran pengajian, peralatan pembelajaran, perlindungan insurans, elaun sara diri serta modul pembangunan kerjaya.
“Sebahagian pembiayaan ini turut menggunakan dana zakat wakalah MBI yang disalurkan di bawah kategori asnaf fisabilillah, selaras dengan prinsip tadbir urus zakat yang menyokong agenda pembangunan sosial.

“Kami berharap pembiayaan ini membolehkan pelajar menumpukan sepenuhnya kepada pengajian dan latihan kemahiran, sekali gus mengembangkan kerjaya mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Anugerah Biasiswa Yayasan MBI kepada pelajar Akademi Carsome di Carsome Certified Lab, Bukit Raja. Majlis turut disempurnakan Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari, yang menyampaikan biasiswa kepada lapan pelajar terbabit.
Mengulas mengenai Akademi Carsome, Saipolyazan berkata penempatan kerja di syarikat automotif itu dijamin, dan usaha mereka memperluas rangkaian industri bersama pelbagai jenama kenderaan adalah langkah yang amat baik.
“Saya amat menghargai usaha Carsome dalam memperluas rangkaian industri. Ini memberi keyakinan bahawa masa depan pelajar di sini terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Carsome, Teoh Jiun Ee, berkata kerjasama dengan MBI mencerminkan matlamat bersama untuk memberi peluang sebenar kepada belia Malaysia.
“Dengan melengkapkan belia melalui kemahiran industri yang relevan dan pengalaman praktikal, program ini bukan sahaja mengubah kehidupan mereka, malah memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara serta melahirkan tenaga kerja mahir bersedia menghadapi masa depan, khususnya dalam sektor automotif,” katanya.


