SHAH ALAM, 8 JAN: Pameran Dirgahayu Cinta yang memaparkan perjalanan perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz akan dibuka kepada orang ramai bermula esok hingga 31 Mei depan.
Pameran yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah itu memberi peluang kepada rakyat jelata merasai kemeriahan dan keindahan adat istiadat perkahwinan diraja Selangor yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.
EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pameran berkenaan mempamerkan gambar serta detik bersejarah perjalanan perkahwinan Raja Muda Selangor, bermula daripada adat merisik, pertunangan, pernikahan hingga Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat.
“Ini merupakan ilham Raja Muda sendiri. Baginda bukan sahaja mahu rakyat melihat secara dekat, sebaliknya turut memperkenalkan keindahan adat istiadat perkahwinan diraja.
“Antara barangan yang dipamerkan termasuk tepak sirih, bantal pernikahan serta replika kek perkahwinan bertatah lampu untuk tontonan pengunjung, selain bunga singgah sana, pintu gerbang dan bunga manggar.
“Secara asasnya, pameran ini membawa kembali suasana meriah sepanjang perjalanan Tengku Amir Shah berumah tangga. Segala peralatan disusun secara ilmiah yang mencerminkan ketinggian nilai dan adat diraja,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pameran tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha memelihara serta mendokumentasikan warisan diraja untuk tatapan generasi akan datang, di samping memperkukuh identiti dan jati diri Selangor.
“Ia juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa sektor kebudayaan, selain memperkukuh peranan muzium sebagai pusat budaya dan ilmu,” katanya.
Terdahulu, pasangan diraja itu melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober lalu, yang disempurnakan oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir.
Istiadat tersebut turut disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.
Dalam istiadat berkenaan, Raja Muda Selangor berarak menaiki kereta Rolls-Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah sejauh kira-kira 1.2 kilometer.


