Pameran Diraja antara acara dirancang sempena Jubli Perak Sultan Selangor

10 Jan 2026, 1:01 AM
Pameran Diraja antara acara dirancang sempena Jubli Perak Sultan Selangor

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri bercadang menganjurkan Pameran Diraja sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, tahun ini.

EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata penganjuran pameran berkenaan dirancang selepas tamatnya Pameran “Dirgahayu Cinta” mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja Selangor yang bermula hari ini dan dijadualkan berakhir pada 31 Mei depan.

“Di lokasi sama (Muzium Sultan Alam Shah), kita memang bercadang untuk menganjurkan Pameran Diraja Sambutan 25 Tahun Jubli Perak. Insya-Allah, kita akan sambung hingga hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan konsert diraja dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini sempena sambutan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pameran “Dirgahayu Cinta” mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja Selangor, di sini semalam.

Mengulas mengenai sasaran pengunjung, Borhan berkata Muzium Sultan Alam Shah telah mencatatkan kehadiran seramai 140,000 pelawat tempatan dan luar negara sejak hampir setahun dibuka semula kepada umum.

“Pencapaian ini merupakan suatu kejayaan yang amat membanggakan dan mencerminkan kepercayaan serta minat masyarakat terhadap peranan muzium sebagai pusat ilmu, pendidikan dan warisan negeri.

“Kita yakin dengan adanya pelbagai pameran, jumlah kunjungan akan terus meningkat dan pencapaian tersebut turut menjadi pemangkin kepada pihak pengurusan untuk terus memperkukuh kualiti program serta pengisian yang dilaksanakan, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam memperkasa warisan dan identiti Selangor,” katanya.

Persiapan sambutan sempena 25 Tahun Pemerintah Sultan Sharafuddin itu sudah mula dijalankan, dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah memberi perkenan melaksanakan Jelajah Jubli Perak ke sembilan daerah di negeri ini bermula tahun ini.