SHAH ALAM, 9 JAN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri berkenan merasmikan pameran Dirgahayu Cinta di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, hari ini.
Pameran khas yang mengetengahkan Istiadat Perkahwinan Diraja Selangor itu mengimbau detik bersejarah pernikahan baginda dengan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz yang berlangsung pada 2 Oktober tahun lalu, diikuti Istiadat Persandingan Diraja serta Majlis Santapan Diraja pada 22 Oktober berikutnya.
Berkenan meluangkan masa hampir sejam, baginda dan isteri meneliti bahan pameran yang mula dipersembahkan kepada umum hari ini.
Pasangan diraja itu diiringi EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Rozzana Rahmat.

Menurut Borhan, pameran khas itu merupakan cetusan ilham Raja Muda Selangor dengan hasrat agar rakyat jelata dapat mendekati serta memahami secara lebih dekat keindahan, kehalusan seni dan ketinggian adat istiadat Diraja Selangor, khususnya berkaitan Istiadat Perkahwinan Diraja.
“Tema “Dirgahayu Cinta” dipilih sebagai manifestasi doa dan harapan di mana ungkapan “dirgahayu” yang membawa maksud semoga panjang umur, dizahirkan sebagai simbol agar kasih sayang dan cinta DYTM Tuanku dan Yang Mulia Datin Paduka Seri bersemi, berkekalan serta terus mekar sepanjang perjalanan kehidupan berumahtangga.
“Pameran ini juga dirangka bukan sekadar peragaan koleksi malah ia juga sebagai wadah penghayatan terhadap nilai simbolik, kehalusan seni serta kesantunan adat istiadat diraja yang menjadi tunjang kepada jati diri serta identiti Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena pameran Dirgahayu Cinta yang disempurnakan oleh pasangan diraja itu di sini, hari ini.
Berlangsung sehingga 31 Mei ini, pameran tersebut memberi peluang kepada rakyat jelata merasai kemeriahan dan keindahan adat istiadat perkahwinan Diraja Selangor yang jarang disaksikan secara dekat.

Selain memaparkan kronologi detik bersejarah itu, pameran Dirgahayu Cinta turut menampilkan koleksi peribadi pasangan diraja yang diperkenan untuk dipamerkan kepada umum, sekali gus memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung.
Antara koleksi yang dipamerkan termasuk pakaian pengantin yang disarungkan Tengku Amir Shah dan isteri semasa istiadat pernikahan, persandingan dan santapan diraja.
Turut dipamerkan ialah replika kek perkahwinan, seni telepuk, bunga telur emas, bunga manggar, payung diraja serta hampir 200 keping foto bermula daripada pra perkahwinan, pernikahan, persandingan, hinggalah ketika zaman kanak-kanak dan remaja baginda berdua.
Penganjuran pameran berprestij itu turut menjadi satu penghormatan besar kepada Kerajaan Negeri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Lebih daripada sekadar pameran, usaha ini turut dilihat sebagai langkah penting dalam pendokumentasian serta pemeliharaan warisan Diraja Selangor agar nilai sejarah dan adat istiadatnya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Orang ramai, termasuk pengunjung dari dalam dan luar negara, diseru hadir ke pameran tersebut bagi menghayati keindahan adat istiadat Diraja Selangor yang dipersembahkan secara tersusun dan informatif.
Selain Kerajaan Negeri, pameran ini turut melibatkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Pejabat DYTM Raja Muda Selangor, PADAT dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut berganding bahu menjayakan pameran berkenaan ialah Media Selangor Sdn Bhd (MBSB), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.





