Pelbagai peristiwa mewarnai Malaysia sepanjang 2025. Daripada pencapaian pembangunan, pengumuman melegakan hingga tragedi meruntun hati. Apa yang benar-benar berlaku? Mari kita sorot semula.
Januari:
Malaysia memulakan tahun dengan penuh wibawa. Secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi Asean buat kali kelima, membuktikan kepercayaan dan kepimpinan negara di rantau ini.
Februari:
Pada 8 Februari, negara dikejutkan dengan kejadian tembakan di Setia City Mall. Seorang lelaki melepaskan lapan das tembakan sebelum melarikan diri dengan merampas kenderaan sebuah keluarga.
Selepas 10 hari buruan, episod cemas itu berakhir pada 18 Februari di Pulau Ketam apabila suspek ditembak mati. Negara kembali tenang.
Mac:
Pada 19 Mac, sinar harapan terukir kembali. Kerajaan mencapai persetujuan baharu dengan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian MH370. Konsep no find no fee membawa satu mesej, pencarian belum berakhir.

April:
Pada 1 April, Putra Heights digegarkan letupan paip gas. Rumah hilang, nyawa tergugat. Kerajaan Selangor tampil menyalurkan bantuan termasuk sokongan untuk pembinaan semula kehidupan mangsa.
Mei:
13 Mei, tragedi yang meruntun hati Malaysia. Sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan gugur dalam nahas lori bermuatan berlebihan. Malaysia berkabung dan persoalan keselamatan jalan raya kembali mencengkam.
Jun:
Pada 9 Jun, kemalangan bas UPSI menggemparkan negara. Bas membawa mahasiswa UPSI terlibat kemalangan di Gerik, mengorbankan 15 pelajar. Negara kehilangan generasi pewaris ilmu dan harapan masa depan.

Julai:
17 Julai, kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina di Sabah mencetuskan persoalan besar - sejauh mana keselamatan anak-anak kita di sekolah berasrama?
Ogos:
1 Ogos, Malaysia mengubah landskap tenaga kerja. Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 sebulan. Satu nafas baharu buat golongan pekerja yang menjadi nadi ekonomi.
September:
9 September, satu sejarah tercipta. Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 diluluskan Parlimen. Lebih 1.2 juta pekerja gig kini menikmati perlindungan kebajikan, keselamatan sosial dan hak rundingan gaji.

Oktober:
Pada 2 Oktober, istiadat diraja berlangsung penuh tertib apabila Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disatukan dengan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz.
November:
Pada 29 November, tumpuan beralih ke Sabah. Gabungan Rakyat Sabah memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Negeri.
Disember:
Pada 26 Disember, mahkamah melakar detik bersejarah. Najib Razak didapati bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan dana 1MDB dan dikenakan denda RM11.4 bilion.
Malaysia 2025, setahun yang penuh peristiwa, mengingatkan kita untuk terus melangkah dengan harapan dan keyakinan menuju masa depan yang lebih baik.




