SHAH ALAM, 31 OKT: Muatan berlebihan serta ketiadaan ciri keselamatan asas pada lori tipper dikesan antara punca kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada Mei.
Berdasarkan laporan akhir pasukan petugas khas siasatan keselamatan pengangkutan jalan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini, lori tipper didapati membawa muatan batu kerikil dengan berat dengan muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan pada 24,000 kilogram.
“Keadaan ini bukan sahaja menyalahi Seksyen 57(1)(b)(VI) APAD 2010 dan kaedah 89 Kenderaan Bermotor tetapi secara langsung menjejaskan prestasi pemanduan kenderaan.
“Pasukan turut mendapati lori FRU tiada kemudahan tali pinggang keledar di kabin hadapan serta ruang kargo. Dengan itu, pemandu dan penumpang tidak mempunyai perlindungan asas semasa impak,” menurutnya.
Siasatan turut mendapati wujud kelemahan ketara dalam aspek pematuhan pengendali, kekurangan kawalan dalaman dan jurang keberkesanan penguatkuasaan.
“Kelemahan ini apabila digabung dengan lebih muatan dan reaksi pemandu, jelas meletakkan kenderaan dalam situasi berisiko tinggi sehingga hilang kawalan menjadi hampir mustahil dielakkan ketika kecemasan,” menurut laporan terbabit.
Pada 13 Mei lalu, lori FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kerikil kira-kira jam 8.50 pagi.
Susulan itu, lapan anggota maut di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala sembilan lagi cedera.





