SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan bersedia mempertimbangkan kenaikan gaji minimum lebih RM1,700 jika prestasi ekonomi negara terus berkembang kukuh dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut percaya gaji minimum RM1,700 yang dinikmati pekerja sekarang tidak cukup bagi menampung perbelanjaan harian mereka, lapor Berita Harian.
"Dulu sebelum kita ambil kerajaan, gaji minimum adalah RM1,200. (Kemudian) kita naikkan kepada RM1,500.
"Tahun lalu, kita naikkan lagi kepada RM1,700. Apakah itu cukup? Saya tak percaya itu cukup. Sebaik sahaja ekonomi kita kukuh, saya akan naikkan (gaji minimum)," katanya semasa Program Townhall PMX Bersama Anak Muda Inanam, Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan salah seorang pelajar yang menyatakan gaji minimum di Sabah masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya.
Anwar turut memberi contoh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memainkan peranan dalam memastikan kebajikan pekerja mereka dengan menetapkan gaji minimum sebanyak RM3,100.
"Kalau kita mempunyai kuasa penuh di syarikat kerajaan seperti PETRONAS, bank di bawah kerajaan, Telekom dan TNB, gaji minimum ditetapkan RM3,100. Itu standard yang kita mahu," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sebelum ini sudah menaikkan gaji kakitangan sektor awam sehingga 30 peratus bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan terdapat beberapa sektor di Sabah diberi pengecualian pelaksanaan kenaikan gaji minimum.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan bersedia untuk mengadakan perbincangan semula bagi memastikan pekerja di Sabah tidak tercicir dengan kenaikan gaji minimum berkenaan.
"Kalau di Sabah ada beberapa tempat yang kita bagi pengecualian. Tetapi saya bersetuju dengan anda, kita harus terus berunding untuk menaikkan gaji minimum termasuk di Sabah," katanya.




