Cabaran tahun 2025 uji keupayaan MAIS dekati masyarakat

14 Jan 2026, 2:01 PM
Cabaran tahun 2025 uji keupayaan MAIS dekati masyarakat
Cabaran tahun 2025 uji keupayaan MAIS dekati masyarakat
Cabaran tahun 2025 uji keupayaan MAIS dekati masyarakat
Cabaran tahun 2025 uji keupayaan MAIS dekati masyarakat

SHAH ALAM, 14 JAN: Tahun 2025 menjadi tempoh mencabar bagi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), namun ujian itu mengukuhkan keupayaan institusi berkenaan mendekati masyarakat.

Pengerusi MAIS, Dato’ Salehuddin Saidin berkata insiden kebakaran paip gas di Putra Heights antara cabaran terbesar dihadapi institusi itu sepanjang tahun lalu.

“Insiden kebakaran paip gas di Putra Heights ini merupakan satu malapetaka yang tidak kita jangka-jangka tatkala kita sedang merayakan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan MAIS 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Salehuddin berkata, MAIS bertindak pantas dengan turun padang bersama Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor bagi menyantuni mangsa di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights pada 5 April 2025.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada MAIS serta agensi agama lain termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang menyusun gerak kerja bantuan seawal hari kedua Aidilfitri.

“Saya melihat ini sebagai satu kejayaan keluarga besar MAIS dalam mengendalikan bencana alam dengan pantas.

“Ketika pihak lain belum bergerak, kita telah pun mengambil tindakan,” katanya.

Keadaan lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain pengurusan bencana, beliau berkata MAIS turut melaksanakan pendekatan turun padang sepanjang 2025 ke Pejabat Agama Islam Daerah dan Kompleks Islam Daerah bagi memahami cabaran sebenar di peringkat akar umbi.

Menurutnya, lawatan berkenaan mendedahkan pelbagai isu termasuk kesempitan ruang pejabat, fasiliti uzur serta keperluan operasi di masjid, sekolah agama dan institusi tahfiz.

"Isu-isu itu kemudiannya dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta agensi berkaitan untuk tindakan penambahbaikan secara berperingkat," katanya.

Bagi tahun 2026, Salehuddin berkata MAIS komited memperkukuhkan syiar Islam melalui pendekatan berasaskan integriti, inovasi dan kesejahteraan sejagat.

Katanya, Program Turun Padang akan diteruskan bermula April ini bagi menilai kemajuan pelaksanaan di setiap daerah.