ad

Susulan insiden Putra Heights, jawatankuasa Dewan Rakyat kemuka 11 syor keselamatan infrastruktur kritikal

6 Okt 2025, 11:22 AM
Susulan insiden Putra Heights, jawatankuasa Dewan Rakyat kemuka 11 syor keselamatan infrastruktur kritikal

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (IPK) Dewan Rakyat mengemukakan 11 syor bagi memperkukuh keselamatan infrastruktur kritikal negara, khususnya membabitkan jajaran paip gas, susulan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Pengerusinya Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis), berkata cadangan tersebut penting untuk memastikan faktor teknikal, alam sekitar dan pembangunan setempat ditangani secara menyeluruh supaya insiden sama tidak berulang.

Antara cadangan utama ialah memperkukuh pemantauan talian paip gas menggunakan teknologi satelit, geofizik serta sistem pengesanan masa nyata di kawasan berisiko tinggi.

“Jawatankuasa turut mengesyorkan prosedur kelulusan pembangunan berhampiran jajaran paip gas diperketatkan dengan mewajibkan pandangan teknikal daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Petronas Gas Berhad (PGB) dan pihak berkuasa berkaitan.

“Cadangan lain termasuk mewujudkan prosedur bantuan serta pampasan yang jelas dan konsisten kepada mangsa insiden infrastruktur kritikal, serta menambah baik sistem amaran awal dengan pemasangan siren di kawasan berpenduduk tinggi berhampiran jajaran paip gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan IPK mengenai Penyata DR.28 Tahun 2025 berhubung insiden letupan gas di Putra Heights.

Sesi penerangan itu adalah pertama kali diadakan pada persidangan Dewan Rakyat sebagai langkah reformasi Parlimen dengan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian (JKPK), selain memperkasakan fungsi serta peranan jawatankuasa itu dalam membincangkan isu semasa.

Selain itu, Yusuf berkata Jawatankuasa Pilihan IPK juga menyarankan supaya pemetaan geobencana nasional dipercepatkan melibatkan semua jajaran paip gas utama, selain menjalankan latihan kecemasan berkala bersama komuniti setempat, agensi penyelamat dan pihak industri.

“Jawatankuasa turut mencadangkan penubuhan tabung bencana infrastruktur kritikal yang boleh digunakan segera untuk membantu mangsa, serta mengkaji semula perundangan sedia ada bagi memberi perlindungan undang-undang yang lebih kukuh terhadap infrastruktur kritikal.

“Cadangan lain termasuk memperkenalkan piawaian penyelenggaraan lebih ketat untuk semua talian paip gas dan utiliti kritikal, dengan audit keselamatan bebas dijalankan setiap tahun,” katanya menambah insiden kebocoran saluran gas yang berlaku di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh, Kemaman pada 20 Sept lepas adalah peringatan jelas tentang perlunya tindakan segera.

Sementara itu, seramai tujuh Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyertai perbahasan dalam sesi penerangan tersebut.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi mendapatkan taklimat daripada agensi berkaitan mengenai status terkini kerja pemulihan, khususnya berkaitan pembinaan semula dan pembaikan rumah yang terjejas dalam insiden itu.

Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa bagi mendapatkan taklimat mengenai keselamatan keseluruhan rangkaian paip gas di Semenanjung Malaysia daripada Petronas Gas Berhad (PGB) dan agensi kerajaan lain.

Turut sependapat dengan Yeo, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berharap kerajaan dapat menjelaskan status pembangunan perumahan untuk mangsa yang terjejas.

“Alhamdulillah kerajaan negeri memberikan sumbangan untuk sewa rumah, tetapi jika ia berlarutan lebih daripada enam bulan, ia mungkin memberi impak bukan sahaja kepada kewangan kerajaan negeri tetapi juga terhadap kelangsungan hidup mangsa,” katanya.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pula menggesa kerajaan merancang dan mewujudkan satu pelan induk yang merangkumi langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Insiden letupan paip gas Putra Heights ini bukan sekadar satu kemalangan terpencil, ia adalah cerminan kelemahan struktur dalam kawalan dan pemantauan infrastruktur kritikal negara,” katanya.

-- BERNAMA