SHAH ALAM, 29 DIS: Usaha pemulihan gangguan bekalan elektrik di Pangsapuri Seri Perantau di Pelabuhan Klang kini dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan aspek keselamatan serta keperluan asas penduduk.
EXCO Perumahan, Dato’ Borhan Aman Shah berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat penyelesaian yang dipengerusikannya hari ini bagi meneliti langkah penyelesaian segera serta perancangan susulan.
“Saya mempengerusikan mesyuarat penyelesaian berhubung isu gangguan elektrik di Pangsapuri Seri Perantau hari ini.
“Mesyuarat ini meneliti langkah penyelesaian segera serta perancangan susulan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sedang menyelaras tindakan susulan dengan penekanan kepada pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta kerjasama teknikal dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Usaha pemulihan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan aspek keselamatan dan keperluan asas penduduk,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan setiap tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh dan berhemah.
Terdahulu, Media Selangor melaporkan penduduk Blok C Pangsapuri Seri Perantau terpaksa melalui malam bergelap selama 20 hari bersama anak kecil, warga emas dan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan, menjadikan keadaan semakin mendesak.
Masalah tersebut berpunca daripada kebakaran bilik sesalur elektrik (DB) di blok berkenaan yang menjejaskan keseluruhan 128 unit kediaman, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan perkhidmatan lif sejak 7 Disember lalu.
Susulan itu, Borhan meninjau keadaan pangsapuri berkenaan pada Jumaat lalu dan memaklumkan isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat khas Kerajaan Negeri bagi membincangkan tindakan segera serta penyelesaian menyeluruh.



