PELABUHAN KLANG, 26 DIS: Isu gangguan bekalan elektrik di Blok C, Flat Seri Perantau akan dibawa ke mesyuarat khas Kerajaan Negeri pada Isnin depan bagi membincangkan tindakan segera serta penyelesaian menyeluruh.
EXCO Perumahan, Dato' Borhan Aman Shah berkata mesyuarat berkenaan akan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Katanya, mesyuarat tersebut juga diadakan bagi mendapatkan gambaran teknikal sebenar sekali gus menentukan kaedah pembaikan dan penyelesaian yang paling selamat serta berkesan.
“Pihak TNB telah melaksanakan bekalan elektrik sementara melalui kaedah bypass, namun ia hanya mampu menampung 46 unit kediaman sahaja.
“Bekalan penuh tidak boleh disalurkan buat masa ini kerana terdapat risiko keselamatan, termasuk kemungkinan litar pintas dan kerosakan peralatan elektrik sekiranya pemeriksaan teknikal menyeluruh tidak dilakukan,” katanya selepas meninjau keadaan flat berkenaan di sini, hari ini.
Lawatan itu turut membolehkan beliau menilai secara langsung aspek keselamatan, kebajikan penduduk serta keperluan mendesak di lapangan, termasuk warga emas dan pesakit yang memerlukan bekalan elektrik untuk keperluan perubatan.
Borhan berkata, keputusan lanjut berkaitan tempoh kerja pembaikan dan kaedah pelaksanaan dijangka dimuktamadkan selepas mesyuarat khas itu serta penerimaan laporan teknikal penuh daripada kontraktor.

“Isu ini melibatkan keselamatan elektrik, bukan sekadar penyambungan bekalan. Kita perlu pastikan semua kerja baik pulih dibuat mengikut spesifikasi dan piawaian kerana kita tidak mahu berlaku kejadian lebih buruk pada masa hadapan.
“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk, sebaliknya akan melihat kepada laporan teknikal kontraktor elektrik berlesen sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” tegasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap gangguan operasi lif serta keadaan penduduk uzur dan pesakit yang memerlukan bantuan berterusan, selepas gangguan bekalan elektrik yang sudah berlarutan lebih 20 hari.
“Kita bimbang lif terhenti dan terdapat pesakit yang terlantar di katil atau uzur memerlukan bantuan. Keadaan ini memerlukan perhatian segera kerana gangguan bekalan telah berlarutan lebih 20 hari,” ujarnya.
Menurut beliau, TNB memaklumkan anggaran kos pembaikan bilik sesalur elektrik (DB) flat berkenaan mencecah RM520,000, manakala pemeriksaan dan pembaikan pendawaian dari rumah ke rumah serta setiap tingkat dianggarkan menelan kos sehingga RM1.72 juta.
“Pihak PKNS telah menyatakan kesediaan untuk membantu, selain Kerajaan Negeri akan meneliti peranan ICU dan agensi berkaitan sekiranya sokongan tambahan diperlukan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran membabitkan bilik DB flat berkenaan menjejaskan 128 unit kediaman di Blok C, menyebabkan gangguan bekalan elektrik sepenuhnya termasuk kemudahan lif sejak 7 Disember lalu.




