SHAH ALAM, 29 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan kewangan sehingga RM2 juta bagi menampung kos kerja-kerja pembaikan dan pemulihan gangguan bekalan elektrik di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata PKNS bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menggerakkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk menyalurkan sumbangan melalui Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA).
“Pelaksanaan kerja-kerja ini akan diselaraskan oleh Kerajaan Negeri, termasuk pelantikan kontraktor yang berkaitan.
“Usaha mempercepatkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) akan dibuat bagi memastikan pengurusan bangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan mampan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Borhan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemulihan Infrastruktur Kritikal Insiden Kebakaran Elektrik di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau bagi meneliti langkah penyelesaian segera dan susulan.
Beliau menjelaskan kelemahan penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian kebakaran di Blok C, sekali gus memberi kesan kepada sistem bekalan elektrik dan kemudahan asas bangunan.
Justeru, katanya, tindakan menyeluruh dan berperingkat perlu dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan membabitkan kira-kira 600 penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Kerajaan Selangor akan terus memantau perkembangan ini secara dekat dan mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan, termasuk Perbendaharaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Ini bagi memastikan penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kebajikan penduduk Pangsapuri Seri Perantau,” katanya.
Terdahulu, Media Selangor melaporkan penduduk Blok C Pangsapuri Seri Perantau terpaksa melalui malam bergelap selama hampir 20 hari, termasuk membabitkan kanak-kanak, warga emas serta pesakit yang memerlukan bantuan perubatan, sekali gus menjadikan keadaan semakin mendesak.
Masalah tersebut berpunca daripada kebakaran bilik sesalur elektrik (DB) di blok berkenaan yang menjejaskan keseluruhan 128 unit kediaman, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta perkhidmatan lif sejak 7 Disember lalu.
Susulan itu, Borhan turut meninjau keadaan pangsapuri berkenaan pada Jumaat lalu dan memaklumkan isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat khas Kerajaan Negeri bagi membincangkan tindakan segera serta penyelesaian menyeluruh.




