KLANG, 11 FEB: Keseluruhan 128 unit kediaman di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau di Pelabuhan Klang yang terjejas susulan kebakaran bilik sesalur elektrik berjaya dipulihkan lebih awal dari tarikh sasaran.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pihak kontraktor berjaya menyiapkan kerja baik pulih lebih awal daripada tarikh dijadual 24 Februari dengan Surat Siap Kerja diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Kontraktor berjaya menyiapkan kerja baik pulih lebih awal daripada jadual. Hari ini, Surat Siap Kerja diserahkan kepada LPHS. Alhamdulillah penyelesaian masalah melibatkan kira-kira 600 penghuni selesai.
“Isu kritikal berkaitan insiden berkenaan berjaya diselesaikan secara cekap hasil kerjasama semua pihak,” katanya selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Baik Pulih Semula Pendawaian Elektrik dan penyerahan bakul makanan di Pangsapuri Seri Perantau di sini, hari ini.
Menurutnya, komitmen Kerajaan Negeri tidak terhenti setakat penyelesaian jangka pendek, pelan tindakan jangka panjang akan terus dilaksana bagi memastikan aspek keselamatan di pangsapuri berkenaan.

“Audit sistem pendawaian bangunan bagi baki 11 blok lagi akan dilaksanakan selepas ini bagi memastikan tahap keselamatan elektrik berada pada tahap optimum serta mengelakkan kejadian kebakaran berulang pada masa depan.
“Kita akan periksa DB bagi blok terlibat. Mungkin ada yang diceroboh kerana saya tengok yang lepas ada diceroboh. Kunci dirosakkan, mungkin disimpan barang peribadi di dalam itu.
“Kita juga bimbang ada cubaan mencuri kabel ini. Jadi kita minta ketua blok atau pentadbiran blok supaya dikunci dan pastikan tidak ada pencerobohan berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Blok C Azizul Anuar Abu Karim bersyukur dengan pemulihan penuh itu yang berjaya dilaksana lebih awal daripada tarikh dijadual.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat, pemulihan ini berjaya dilaksana sebelum Ramadan. Kami akan menjaga sebaik mungkin supaya tidak berlaku pencerobohan bagi memastikan keselematan di bilik DB,” katanya.
Sebelum ini, Borhan memaklumkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalur peruntukan kewangan sehingga RM2 juta untuk menampung kos pembaikan gangguan bekalan elektrik di pangsapuri itu.

PKNS bersama TNB turut menggerakkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat termasuk menyalurkan sumbangan melalui Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan.
Beliau menjelaskan kelemahan penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada kejadian kebakaran di Blok C, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik dan kemudahan asas bangunan termasuk lif.





