100 murid terima bantuan sekolah TNB, ringan beban keluarga terjejas bekalan elektrik

1 Jan 2026, 6:37 AM
100 murid terima bantuan sekolah TNB, ringan beban keluarga terjejas bekalan elektrik
100 murid terima bantuan sekolah TNB, ringan beban keluarga terjejas bekalan elektrik
100 murid terima bantuan sekolah TNB, ringan beban keluarga terjejas bekalan elektrik

KLANG, 1 JAN: Seramai 100 murid yang tinggal di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang menerima bantuan persekolahan menerusi program Ceria ke Sekolah (CKS) Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2026, sekali gus meringankan beban keluarga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran bilik sesalur elektrik.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Shah berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB itu menunjukkan keprihatinan syarikat berkenan yang bukan sahaja dalam menyediakan bekalan elektrik, malah menyokong komuniti terjejas.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berucap dalam majlis penyerahan sumbangan ceria ke sekolah TNB di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang pada 1 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah, ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada penduduk Blok C, terutamanya anak-anak yang akan kembali ke sekolah selepas musibah kebakaran DB di blok mereka,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan CKS TNB 2026, hari ini.

Sementara itu, Ketua Regulatory dan Stakeholder Management Officer TNB Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata sejak diperkenalkan pada 2013, program CKS telah memanfaatkan kira-kira 86,000 keluarga di seluruh negara.

“Program tahunan ini menunjukkan komitmen TNB terhadap masyarakat setempat, terutama dalam aspek pendidikan yang amat penting,” katanya.

Bagi penerima, bantuan tersebut sangat membantu. Pegawai Khidmat Pelanggan, Nurul Fatin Anuwar, 31, berkata dua anaknya dapat kembali bersedia ke sekolah walaupun kehidupannya terjejas akibat gangguan bekalan elektrik sejak 7 Disember lalu.

Nurul Fatin Anuwar, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Saya terpaksa tinggal di rumah mentua di Banting dan ulang-alik ke Klang. Bantuan ini banyak meringankan kos harian kami,” katanya.

Suri rumah, Samsiah Mohamad, 49, pula berkata bantuan itu amat bernilai terutama bagi menampung perbelanjaan anaknya yang akan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini.

Shamsiah Mohamad, 49. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Banyak kos perlu ditanggung menjelang SPM, jadi terima kasih TNB atas bantuan ini,” katanya.

Setakat ini, bekalan elektrik bagi 50 unit kediaman di Blok C telah dipulihkan, manakala baki 78 unit masih dalam proses pemulihan. Kerja baik pulih dijalankan tertakluk kepada penilaian keselamatan pendawaian dan struktur elektrik bangunan, menurut Borhan.