Gangguan elektrik Pangsapuri Seri Perantau: 50 kediaman pulih, 78 lagi giat dibaiki

1 Jan 2026, 5:05 AM
Gangguan elektrik Pangsapuri Seri Perantau: 50 kediaman pulih, 78 lagi giat dibaiki
Gangguan elektrik Pangsapuri Seri Perantau: 50 kediaman pulih, 78 lagi giat dibaiki
Gangguan elektrik Pangsapuri Seri Perantau: 50 kediaman pulih, 78 lagi giat dibaiki

KLANG, 1 JAN: Bekalan elektrik bagi 50 unit kediaman di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau di Pelabuhan Klang berjaya dipulihkan setakat ini, selepas terganggu sejak 7 Disember lalu susulan kebakaran bilik sesalur elektrik.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata baki 78 unit kediaman masih dalam proses pemulihan dengan kerja baik pulih giat dijalankan, tertakluk kepada penilaian tahap keselamatan pendawaian dan struktur elektrik bangunan.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan ceria ke sekolah TNB di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang pada 1 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Setakat ini saya dimaklumkan 50 rumah telah selesai. Ada 78 saja lagi yang masih dalam perhatian untuk kita pastikan mereka boleh diberi bekalan elektrik. Kita bimbang keselamatan atau berlaku litar pintas.

Perkhidmatan lif juga sudah pulih sepenuhnya dan kita rancang dalam Januari (untuk selesai),” katanya selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, hari ini.

Ketua Blok C Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang Azizul Anuar Abu Karim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Blok C Azizul Anuar Abu Karim bersyukur dengan perkembangan baik pulih bekalan elektrik dan berharap masalah ini selesai sebelum tibanya Ramadan.

Sebelum ini, Borhan memaklumkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalur peruntukan kewangan sehingga RM2 juta untuk menampung kos pembaikan gangguan bekalan elektrik di pangsapuri itu.

PKNS bersama TNB turut menggerakkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat termasuk menyalurkan sumbangan melalui Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan.

Beliau menjelaskan kelemahan penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada kejadian kebakaran di Blok C, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik dan kemudahan asas bangunan, termasuk lif.

Gangguan elektrik dan perkhidmatan lif itu menjejaskan keseluruhan 128 unit kediaman sejak kejadian 7 Disember lalu, sebelum usaha baik pulih dijalankan.