SHAH ALAM, 29 DIS: Selangor kekal sebagai antara destinasi pilihan percutian keluarga dengan pelbagai tarikan pelancongan menarik sempena musim cuti sekolah dan hujung tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata kelebihan negeri itu terletak kepada kepelbagaian pengalaman pelancongan yang boleh dinikmati tanpa perlu bergerak jauh, khususnya bagi keluarga yang tinggal di Lembah Klang.
“Selangor merupakan destinasi pelancongan yang mudah diakses, lengkap dan sesuai untuk semua peringkat umur. Sama ada percutian bandar, taman tema, alam semula jadi atau pengalaman berasaskan pendidikan, semuanya ada di Selangor.
“Negeri ini bukan sahaja memiliki rangkaian taman tema terbesar di negara ini, malah turut menawarkan pelancongan berteraskan alam semula jadi dan desa.
“Jika ingin merasai pengalaman ekopelancongan boleh berkunjung ke Kuala Selangor, juga agropelancongan di kawasan luar bandar serta produk edutourism yang menggabungkan elemen pembelajaran dan rekreasi,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Mengulas lanjut, Yee Ling berkata musim cuti sekolah dilihat sebagai tempoh penting untuk menjadi pecutan terakhir kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 yang menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong.
Setakat September lalu, Selangor telah mencapai kira-kira 80 peratus daripada sasaran tersebut, bersamaan 6.4 juta pelawat, manakala baki 20 peratus disasarkan dicapai menjelang hujung tahun ini.
“Cuti sekolah merupakan tempoh yang sangat penting untuk industri pelancongan kerana kebanyakan keluarga memilih masa ini untuk bercuti. Ia menjadi pecutan terakhir bagi kita mencapai sasaran lapan juta pelancong bagi TMS 2025,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kempen TMS akan diteruskan ke tahun 2026 seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memastikan kesinambungan promosi pelancongan negeri itu.
“Ini merupakan usaha nasional sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memastikan promosi pelancongan Selangor kekal berterusan dan berimpak,” katanya.









