Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir

5 Dis 2025, 7:03 AM
Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir
Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir
Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir
Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir
Pecutan akhir promosi TMS2025, sasaran lapan juta pelancong semakin hampir

GEORGETOWN, 5 DIS: Selangor kini memasuki fasa pecutan akhir kempen promosi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) bagi mencapai sasaran lapan juta pelancong ke negeri itu tahun ini.

EXCO pelancongan berkata, Tourism Selangor diminta memperhebat promosi produk eko pelancongan termasuk pelancongan pelayaran dan pelancongan perubatan dalam tempoh berbaki kurang sebulan sebelum 2025 menutup tirai.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, seramai 6.4 juta pelawat tempatan dan antarabangsa direkodkan tiba di Selangor bagi tempoh Januari hingga September dengan resit pelancongan mencecah RM11.4 bilion.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling (kanan) dan Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong Ken Lee (kiri) pada program Media Cruise Trip 2025 di Swettenham Pier Cruise Terminal pada 4 Disember 2025. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Dalam mesyuarat lembaga pengarah semalam, saya minta (Tourism Selangor) supaya beri penekanan kepada mana-mana aspek yang perlu untuk capai sasaran tersebut.

“Kita yakin mampu capai sasaran ditetapkan, malah lebih daripada itu mengambil kira jumlah pelancong harian ke Selangor paling ramai berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya pada program Media Cruise Trip 2025 hari ini.

Turut serta dalam pelayaran kapal persiaran mewah Piano Land, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling dan Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong Ken Lee.

Pelayaran tiga hari dua malam dari Port Klang Cruise Terminal (PKCT) ke Swettenham Pier Cruise Terminal, Pulau Pinang memberi pengalaman langsung menaiki kapal tersebut dan meninjau tarikan di Pulau Pinang sebelum kembali ke Pelabuhan Klang.

Piano land merupakan kapal persiaran seberat 70,000 tan dari China pertama yang berpangkalan di Malaysia dengan memiliki 13 dek dan 850 kabin selain mampu menampung 1,700 penumpang pada satu-satu masa.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah sempena Media Cruise Trip 2025 di Swettenham Pier Cruise Terminal pada 4 Disember 2025. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

Fasiliti merangkumi restoran, 7 bar, kedai bebas cukai, kolam renang, Jakuzi, Panggung Chaplin, gimnasium, perpustakaan, spa dan pusat kecantikan, Twinkle Little Star Club, mini telematch serta zumba dan aerobik termasuk kuiz dan permainan.

Pakej pelayaran tersedia tiga hari dua malam (PKCT-Pulau Pinang-PKCT), empat hari tiga malam (PKCT-Pulau Pinang-Langkawi-PKCT), empat hari tiga malam (PKCT-Phuket-PKCT) dan tujuh hari enam malam (PKCT-Singapura-Ho Chi Minh-Hong Kong).

Bermula 29 November, kapal itu menawarkan hospitaliti mesra Muslim yang sesuai untuk seisi keluarga hasil kerjasama strategik antara Astro Ocean Cruise dan Hwajing Travel & Tours.

Sementara itu, Chua berkata, kolaborasi itu merealisasi hasrat Malaysia untuk menjadi hab pelancongan kapal persiaran utama di rantau ini, dengan Pelabuhan Klang antara enam pelabuhan yang mengendalikan pelabuhan kapal persiaran.

“Selangor komited mengukuhkan ekosistem pelancongan kapal persiaran, dengan matlamat jangka panjang untuk meletakkan negeri ini sebagai hab pelabuhan terkemuka Asia.

“Usaha ini dijangka menarik lebih ramai ketibaan pelawat sekali gus meningkatkan hasil pelancongan negeri,” katanya.

Fasiliti yang tersedia dalam kapal pelayaran mewah, Piano Land seberat 70,000 tan. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR