SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor bercadang melanjutkan kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) hingga 2027 bagi memperkukuh industri pelancongan serta menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata cadangan itu turut mengambil kira sambutan menggalakkan terhadap kempen sedia ada serta keputusan Kerajaan Persekutuan melanjutkan Tahun Melawat Malaysia (TMM).
“Tahun hadapan Selangor mahu terus fokus kepada pelancongan dan mahu buat cadangan oleh kerana Tahun Melawat Malaysia diadakan bersama Tahun Melawat Selangor mendapat sambutan menggalakkan.
“Selaras keputusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Persekutuan melanjutkan Tahun Melawat Malaysia, Selangor juga bercadang mempertimbang melanjutkan Tahun Melawat Selangor.

“Kita akan rangkumkan Tahun Melawat Selangor dari 2025, 2026 hingga 2027 bagi beri fokus kepada industri pelancongan. Kita mahu Selangor terus menjadi pilihan destinasi pelancongan,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi tahun hadapan, kawasan Anjung Utara menjadi antara tumpuan dalam usaha memperluas potensi pelancongan negeri, khususnya menerusi produk ekopelancongan dan agropelancongan.
Kawasan berkenaan mempunyai pelbagai tarikan termasuk Bukit Malawati, Sky Mirror dan kelip-kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor, selain kawasan sawah padi Sekinchan, Pantai Redang serta produk pelancongan berasaskan komuniti di Sabak Bernam.

Pada Januari lalu, kempen TMS diteruskan seiring pelaksanaan TMM 2026 bagi mengukuhkan peranan negeri sebagai antara pintu masuk utama pelancongan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling sebelum ini berkata keputusan itu dibuat susulan prestasi memberangsangkan kempen TMS 2025 yang berjaya mencapai 80 peratus daripada sasaran lapan juta pengunjung seawal September tahun lalu.
Sepanjang tahun ini, lebih 90 acara pelancongan dianjurkan hampir setiap minggu di seluruh Selangor, merangkumi segmen makanan, budaya, gaya hidup, industri kreatif, agropelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti.
Antara acara utama yang dijadual kembali dianjurkan ialah Pameran Pelancongan Selangor, Festival Mega Makanan Selangor, Festival Kopi Selangor (SelCoff) dan Festival Sawah Padi Selangor, selain program lain yang akan diumumkan secara berperingkat.









