6.3 juta pelancong kunjungi Selangor setakat suku ketiga, hampir capai sasaran TMS2025

4 Dis 2025, 3:34 AM

SHAH ALAM, 4 DIS: Selangor merekodkan kedatangan 6.3 juta pelancong pada suku ketiga tahun ini, sekali gus menghampiri sasaran lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi promosi serta penganjuran pelbagai program sepanjang tahun yang berjaya menarik minat pengunjung domestik dan antarabangsa.

“Antara inisiatif yang mendapat sambutan besar ialah kempen Surprising Selangor dan Selangor Kan Ada! yang digerakkan bersama artis terkenal seperti Aizat Amdan, Bunga Isme, Jasper Supayah, Tony Eusoff, Nazrief Nazri, Ghaz Abu Bakar dan ramai lagi.

“Sokongan media sangat penting dalam memperluas capaian informasi mengenai acara serta tarikan pelancongan di Selangor. Kerjasama itu amat kami hargai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata reputasi Tourism Selangor sekali lagi diiktiraf apabila meraih Anugerah Emas bagi kategori Penggunaan Konten Terbaik di Malaysia Public Relations Awards (MPRA) pada 28 November lepas, mengatasi penyertaan beberapa syarikat terkemuka.

Menurutnya, peningkatan ketara prestasi digital turut menyumbang kepada kejayaan tersebut apabila platform Tourism Selangor mencapai lebih 800,000 pengikut dan 20 juta interaksi, menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap kandungan pelancongan negeri.

“Kami kini bersedia menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan Selangor bersiap siaga memainkan peranan penting terutama melalui penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijangka melonjakkan potensi pelancongan sukan,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran lapan juta pelancong bagi TMS2025 dengan jangkaan transaksi ekonomi melibatkan RM11.7 bilion.