Industri budaya dan kempen pelancongan

17 Jan 2026, 7:00 AM
Industri budaya dan kempen pelancongan

Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) tidak wajar dilihat sekadar sebagai kempen meningkatkan angka ketibaan pelancong semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai peluang strategik untuk mengangkat seni dan budaya tempatan sebagai instrumen kuasa lunak (soft power) negara.

Dalam dunia yang dipacu oleh persepsi, naratif dan pengaruh media sosial, kekuatan atau keunikan sesebuah negara kini semakin diukur melalui keupayaannya membentuk imej, nilai dan identiti yang diyakini di peringkat antarabangsa.

Dalam konteks ini, seni dan budaya berfungsi sebagai bahasa halus yang menyampaikan sejarah, tamadun dan pandangan alam bangsa Malaysia kepada dunia. Namun, pendekatan semasa masih cenderung meletakkan seni budaya sebagai pelengkap acara pelancongan, bukan sebagai teras pembentukan naratif nasional.

Program budaya sering dirangka untuk menghibur, bukan membina makna dan pengaruh, manakala ketiadaan sinergi yang jelas antara dasar pelancongan, kebudayaan dan diplomasi menyebabkan potensi seni tempatan sebagai aset pembinaan imej negara tidak dimanfaatkan secara menyeluruh, walaupun Malaysia memiliki kekayaan warisan dan bakat yang besar.

Kumpulan kesenian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mempersembahkan tarian tradisional dan busana warisan Melayu di St James Theatre Wellington, New Zealand sempena Program Diplomasi Budaya Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025. Foto Facebook EXCO Perumahan & Kebudayaan/Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat

Hakikatnya, TMM 2026 berpotensi menjadi titik perubahan sekiranya seni budaya diangkat sebagai aset strategik negara, bukan sekadar tarikan pelancongan.

Dalam kerangka ini, Selangor sebagai hab utama ketibaan pelancong dari seluruh dunia wajar memanfaatkan peluang tersebut dengan menonjolkan kekuatan budaya yang bersifat ketara dan tidak ketara.

Dengan perancangan yang bersepadu, seni budaya di Selangor bukan sahaja mampu memperkayakan pengalaman pelawat, malah membina pengaruh dan reputasi negeri dalam jangka panjang di pentas global.

Selangor: Tapak Ideal untuk Festival Budaya Berskala Antarabangsa

Kita perlu akui bahawa di Selangor memang terdapat banyak pusat beli-belah yang besar dan moden. Sekali fikir, ini bukanlah tarikan pelancong yang datang namun ia tetap menjadi lokasi sekian ramai pengunjung dan ini harus dimanfaatkan dengan pengisian aktiviti seni dan kebudayaan.

Selangor juga memiliki jaringan galeri seni yang luas, termasuk Galeri Diraja yang menempatkan koleksi Diraja, galeri kerajaan negeri juga banyak termasuk muzium, serta pelbagai galeri seni kontemporari yang dimiliki secara persendirian.

Lebih daripada itu, Selagor juga memiliki bilangan pusat pementasan seni yang melebihi dari negeri-negeri lain seperti Johor Bahru, Georgetown dan Kuching. Aset-aset ini sebenarnya boleh menjadi ruang yang luas untuk penganjuran festival teater, drama, serta muzik warisan.

Kumpulan kesenian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mempersembahkan tarian tradisional dan busana warisan Melayu di St James Theatre Wellington, New Zealand sempena Program Diplomasi Budaya Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025 pada 25 September 2025. Foto Facebook EXCO Perumahan & Kebudayaan/Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat

Keunikan Selangor turut diperkaya alam semula jadinya — daripada sawah padi di Sekinchan, hutan paya bakau di Kuala Selangor hingga ke kawasan hijau Hulu Selangor.

Lokasi-lokasi ini berpotensi menjadi lokasi aktiviti seni budaya yang terbuka, di mana pelancong boleh berinteraksi secara langsung dengan permainan tradisional, ekspresi budaya Melayu, serta kegiatan seni moden yang berpadu dengan alam sekitar seperti khemah Sastera.

Sebagai perbandingan, Edinburgh Festival Fringe di Scotland bermula sebagai platform seni alternatif sebelum berkembang menjadi festival seni terbesar di dunia.

Ia menggabungkan teater, muzik, sastera, seni visual, dan budaya jalanan, seterusnya menjadikan bandar tersebut sebagai destinasi budaya global. Model ini membuktikan bahawa budaya bukan sekadar hiburan, tetapi industri bernilai tinggi dan berdampak ekonomi.

Penganjuran Festival budaya sememangnya diwujudkan bukan sekadar hiburan santai, sebaliknya mampu menghidupkan bandar, merancakkan pelancongan dan memperkukuh identiti nasional. Seni boleh menjadi jambatan dialog antara kelas, kaum, dan ideologi.

Mengadaptasi model ini, Selangor berpeluang menubuhkan Festival Budaya Selangor Tahunan, dengan zon pameran dan pementasan di bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Klang, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

Jangan lupa, penganjuran sedia ada seperti Hadiah Sastera Selangor telah pun sedia wujud, hanya perlu ditambahbaik dan diteruskan dengan lebih terancang.

Festival ini boleh berkembang dengan menggabungkan pelbagai lagi aktiviti seni warisan, eksperimen muzik, persembahan tarian etnik, seni visual kontemporari, dan aktiviti kreatif digital, seterusnya mewujudkan pengalaman pelancongan yang autentik dan berkesan.

Pendekatan Polisi Bersepadu

Kerajaan negeri perlu beralih daripada pendekatan berasaskan acara kepada pendekatan berasaskan ekosistem. Usaha ini termasuk pembangunan bakat seni dan pengukuhan institusi budaya, seperti penganjuran bengkel-bengkel seni, klinik bakat seni serta jualan koleksi barangan vintage yang bernilai komersil.

Sokongan aktif kepada kurator, penggiat kreatif tempatan, penulis, kewartawanan serta penubuhan dana insentif bagi kolaborasi sektor awam-swasta dan Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Pengunjung teruja melihat karya pelukis ketika Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan di Galeri Shah Alam pada 15 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Penyelarasan dasar dan aktiviti seharusnya rentas segmen iaitu pelancongan, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi kreatif. Hanya dengan cara ini industri budaya tempatan boleh berkembang maju disamping melahirkan bakat-bakat baharu.

Seni harus memberi nilai tambah kepada masyarakat samada produk mahupun perkhidmatan, kerana mereka adalah konsumer seni. Pembangunan seni perlu mengambil kira usaha mewujudkan konsumer seni. Merekalah yang akan menggerakkan aktiviti ekonomi.

Manfaat Strategik dan Jangka Panjang

Dalam jangka panjang, pendekatan polisi yang meletakkan industri kebudayaan sebagai soft power akan memberikan pulangan yang melangkaui sektor pelancongan. Ia berpotensi memperkukuh ekonomi kreatif, membina keyakinan terhadap identiti tempatan, dan memposisikan kedudukan Selangor bukan sahaja sebagai industri berteknologi, tetapi industri berteraskan kebudayaan.

Dari laporan semasa, pada 2023, Selangor merekodkan seramai 6.54 juta kedatangan pelancong di mana 4.45 juta pelancong domestik dan 2.09 juta antarabangsa. Sekiranya sepuluh peratus ini hadir ke festival budaya di Selangor, sekitar 500-600 ribu pengunjung boleh dicapai.

Jika lima puluh peratus dari jumlah ini berbelanja di festival budaya, nilainya mencecah jutaan ringgit. Inilah manfaat untuk rakyat dan penggiat budaya.

Dengan penekanan kepada perancangan bersepadu dan penglibatan pelbagai pihak, TMM 2026 adalah permulaan kepada pembinaan ekonomi negeri yang berteraskan ekonomi kreatif.

Selangor, berpeluang menjadi contoh bagaimana seni dan budaya bukan sahaja melengkapkan acara pelancongan, tetapi menjadi teras kepada identiti, imej dan pengaruh negara.

Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air