MB merafak sembah ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-80

24 Dis 2025, 10:02 AM

SHAH ALAM, 24 DIS: Dato' Menteri Besar merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Hari Keputeraan Yang Ke-80 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata tarikh ini merupakan detik bersejarah kerana menandakan hari keputeraan sebenar Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"Dengan penuh takzim, patik mewakili seluruh rakyat, kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri merafak sembah serta ucapan selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-80 DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Yang Di-Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta jajahan takluknya," ucapnya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Amirudin, beliau bersama seluruh rakyat Selangor menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana terus dinaungi kedaulatan pemerintahan Sultan Selangor.

"Patik serta sekalian rakyat memanjatkan doa kepada Allah SWT agar Negeri Selangor Darul Ehsan terus aman sentosa, makmur sejahtera di bawah naungan DYMM Tuanku," katanya.

Amirudin turut mendoakan agar Sultan Sharafudin serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dilanjutkan usia, dirahmati serta dikurniakan ‘aafiyah, sakinah dan mawaddah.

Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran negeri kini giat membuat persiapan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

Semalam, EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah memaklumkan bahawa perancangan program rasmi termasuk penganjuran Konsert Diraja kini sedang dijalankan bagi memeriahkan sambutan 25 tahun pemerintahan Baginda.