SHAH ALAM, 23 DIS: Persiapan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah mula dijalankan sekali gus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan pada tahun depan.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pentadbiran negeri memperuntukkan dana bagi pelaksanaan beberapa program rasmi sempena 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj termasuk perancangan menganjurkan konsert diraja.

“Jika mendapat perkenan Tuanku, negeri merancang menganjurkan Konsert Diraja dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Selain itu, kita bercadang menganjurkan Pameran Perkahwinan Diraja sempena pernikahan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Muzium Sultan Alam Shah selama tiga bulan untuk tatapan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Tengku Amir memberi perkenan melaksanakan Jelajah Jubli Perak ke sembilan daerah sempena Sambutan Jubli Perak tersebut.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas limpah perkenan Baginda untuk melaksanakan jelajah berkenaan.
“Kerajaan Tuanku juga berikhtiar untuk satu projek infrastruktur dilaksanakan di setiap daerah yang berkait dengan kemudahan awam sama ada pembinaan baharu ataupun baik pulih bagi manfaat rakyat Tuanku,” katanya dalam sembah ucapan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor pada 11 Disember lepas.
Dalam pada itu, Borhan memberitahu pihaknya turut menumpukan pembinaan Muzium Setem di Seksyen 14, Shah Alam yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini untuk membolehkan proses permohonan memiliki Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dimulakan.
“Insya-Allah, saya yakin pembukaan rasmi Muzium Setem akan dibuat pada 2027 memadangkan proses CCC ambil masa dan kita akan memohon perkenan baginda untuk merasmikannya,” jelasnya.





