SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor memperluas program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, bioteknologi dan aeroangkasa.
Kerajaan Negeri turut memperkukuh inisiatif berteraskan industri termasuk memperkenalkan Program Selangor Career Outreach (SCOUT) bagi memastikan bekalan tenaga mahir sentiasa mencukupi.
Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026 itu akan menghubungkan institusi akademik dan industri ke arah melahirkan tenaga berbakat serta memperluas peluang pekerjaan di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata strategi itu selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan membangunkan Central Region Initiative, iaitu pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Dilancarkan pada 11 November lalu, inisiatif berkenaan membabitkan kerjasama strategik antara Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai zon ekonomi paling dinamik di Malaysia.
Ia memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar pelaburan negeri, memperkukuh hubungan serantau serta menaik taraf koridor perindustrian kepada kluster teknologi tinggi seperti hab digital, taman teknologi hijau dan zon logistik berkeupayaan tinggi.
“Invest Selangor melihat Central Region Initiative sebagai platform strategik yang mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai nadi sektor pembuatan dan perkhidmatan negara.
“Dengan kepimpinan sedia ada dalam logistik, pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tinggi, Selangor berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui inisiatif ini sekaligus memacu transformasi ekonomi wilayah tengah,” katanya kepada Media Selangor dalam satu wawancara baru-baru ini.
Hasan berkata Selangor akan memberi keutamaan kepada kluster berimpak tinggi termasuk aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), rel, logistik, automotif dan inovasi berasaskan teknologi.
“Antara kekuatan Selangor ialah lokasi strategik yang menghubungkan kawasan ekonomi utama, memudah cara perdagangan dan logistik serta menjadi hab kepada aktiviti perniagaan domestik dan serantau,” katanya.
Bagi melengkapkan tenaga kerja dalam sektor tersebut, program TVET negeri memberi tumpuan kepada robotik, automasi industri dan penyelenggaraan aeroangkasa.
Beliau menambah, kerjasama dengan rakan industri membolehkan peserta TVET menjalani latihan praktikal serta latihan industri bagi memastikan kemahiran sejajar keperluan pasaran.
Pacu pertumbuhan serantau
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Central Region Initiative dijangka memacu pertumbuhan jangka panjang dengan menyumbang RM24.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 5,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Ketika membentangkan belanjawan negeri pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut memberi peluang kepada kerajaan negeri memacu pelaburan, pendigitalan dan pembangunan bandar pintar-hijau.
Ia juga menyediakan sokongan lebih tersusun kepada syarikat multinasional (MNC) untuk berkembang, mengguna pakai teknologi bernilai tinggi serta mengukuhkan daya tahan tenaga kerja.
Hasan berkata ekosistem kukuh di Selangor yang didorong rangkaian hubungan bertaraf dunia, kluster industri matang dan bakat tenaga kerja berkemahiran tinggi akan terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi selain memberi limpahan manfaat kepada Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Invest Selangor akan berperanan sebagai fasilitator bagi syarikat melaksanakan aktiviti berkaitan E&E khususnya semikonduktor bahagian hadapan serta industri aeroangkasa.
“Kami juga menyediakan ruang kepada negeri jiran menarik aktiviti pelengkap semikonduktor dan aeroangkasa serta memperkukuh keseluruhan ekosistem industri,” katanya.
Beliau berkata peningkatan hubungan serantau turut menjadi keutamaan dengan penekanan kepada kerangka dasar dan peraturan lebih mantap bagi menyelaras integrasi negeri dan mengurangkan kekangan operasi.
Di bawah inisiatif tersebut, Selangor akan bekerjasama rapat dengan MNC menerusi Program SME-Investors Linkages yang menghubungkan syarikat tempatan dengan pelabur luar sebagai vendor, pembekal dan rakan strategik.
“Dengan menggalakkan jaringan ini, Selangor memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pertumbuhan berteraskan inovasi, manakala MNC pula memperoleh ekosistem tempatan yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk menyokong operasi dan pelaburan jangka panjang,” katanya.
Hasan berkata langkah itu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab utama industri bernilai tinggi, penerapan teknologi canggih dan pertumbuhan ekonomi mampan di negara ini.


