SHAH ALAM, 26 MAC: Keyakinan pelabur terhadap sumber manusia yang relevan dengan keperluan industri antara faktor Selangor merekodkan lonjakan pelaburan RM101 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM55 bilion.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi program peningkatan kemahiran dan latihan semula, Selangor dapat menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mengurangkan jurang kemahiran antara tenaga kerja sedia ada dengan kehendak industri.
“Pelabur memerlukan pekerja dengan set kemahiran tertentu. Jadi kita selaraskan dengan penubuhan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) selain kerjasama dengan pelbagai syarikat teknologi untuk meningkatkan kemahiran pekerja.
“Kesedaran ini wujud sebab kita bukan hanya nak lahirkan peluang pekerjaan tapi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Kita tingkatkan kemahiran pekerja sedia ada. Ini antara strategi untuk tarik pelaburan.
“Ini bagi memastikan sumber daya manusia kita sepadan dengan keperluan dan permintaan industri,” katanya dalam program ‘Dialog TVS: Menuju Selangor 2030, Apa Strategi MB’ yang disiarkan malam tadi.
Amirudin berkata negeri ini berada di landasan kukuh untuk terus berkembang pesat, namun cabaran terbesar adalah memastikan pertumbuhan tersebut dinikmati seluruh lapisan rakyat, khususnya untuk meningkatkan kualiti hidup.
“Strateginya dengan menitikberatkan tiga perkara iaitu peningkatan dan kemampuan sumber daya manusia berkualiti dan menarik pelabur berkualiti dengan menceburi bidang berteknologi tinggi seperti bandar pintar dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadi tumpuan 2025.
“Selain itu, menekankan kepada ekosistem sokongan yang berkualiti kepada satu-satu pelaburan yang dapat menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin berkata Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM101 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM55 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
Menurutnya jumlah pelaburan itu diyakini membuka lebih 80,000 hingga 90,000 peluang pekerjaan di Selangor, sekali gus mencatat rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pentadbiran kerajaan perpaduan di Selangor.