Potensi bawa F1 kembali perlu dinilai secara serius, SIC perlu diperkukuh

1 Nov 2026, 7:11 AM
Potensi bawa F1 kembali perlu dinilai secara serius, SIC perlu diperkukuh
Potensi bawa F1 kembali perlu dinilai secara serius, SIC perlu diperkukuh

SEPANG, 1 NOV: Potensi membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia perlu dinilai secara serius dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mesti diperkukuh sebagai aset strategik negara, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata ia bagi memastikan setiap pelaburan mampu menjana pulangan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan membawa manfaat nyata kepada rakyat.

“Sehubungan dengan itu, saya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap masa depan SIC sebagai aset strategik negara yang mempunyai nilai antarabangsa, kelebihan lokasi dan potensi besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“SIC bukan sekadar sebuah litar perlumbaan. Ia adalah aset strategik negara, pemangkin pelancongan, platform pelaburan dan pintu masuk Malaysia untuk terus bersaing dalam industri sukan permotoran dunia,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata keputusan meneruskan hak penganjuran MotoGP Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2031 adalah langkah penting untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam kalendar sukan permotoran antarabangsa.

Beliau berkata SIC perlu memperluas sumber pendapatan melalui penajaan korporat, hak komersial, pakej hospitaliti, penyewaan fasiliti, penganjuran acara tambahan serta kerjasama strategik dengan pengeluar automotif dan rakan industri antarabangsa.

“Saya menyambut baik usaha SIC menyediakan kajian kebolehlaksanaan untuk membawa kembali F1 ke Malaysia, yang dilaporkan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November ini.

“Bagaimanapun, keputusan membawa kembali F1 tidak boleh berasaskan nostalgia, prestij atau jumlah kehadiran penonton semata-mata. Ia mesti berpandukan kajian ekonomi yang teliti, mengambil kira kos hak penganjuran, komitmen operasi, penajaan, pendapatan komersial dan pulangan bersih kepada negara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan wajar meneliti beberapa pilihan model penganjuran, termasuk penganjuran tahunan sekiranya terbukti berdaya maju dari segi kewangan dan komersial atau penganjuran secara berkala sekiranya pendekatan itu memberikan nisbah kos dan manfaat yang lebih optimum.

Menurut Aiman Athirah, SIC juga wajar dibangunkan sebagai hab ekonomi sukan permotoran sepanjang tahun dan tidak bergantung semata-mata kepada beberapa hujung minggu perlumbaan besar dalam setahun bagi menjana pendapatan.

“Antara potensi yang wajar diteroka termasuk penganjuran acara permotoran antarabangsa, ujian dan pembangunan kenderaan oleh pengeluar automotif, program latihan teknikal, persidangan industri, aktiviti korporat serta penyewaan fasiliti untuk pelbagai kegunaan komersial.

“Lebih penting, SIC perlu diberikan peranan yang lebih besar dalam pembangunan bakat dan industri tempatan melalui kerjasama dengan universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri automotif,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.