Hujan lebat, ribut tidak jejas operasi kutipan sampah - KDEBWM

29 Nov 2025, 12:00 AM
Hujan lebat, ribut tidak jejas operasi kutipan sampah - KDEBWM

SHAH ALAM, 28 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengekalkan operasi kutipan dan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di seluruh Selangor, meskipun ramalan ribut dan hujan lebat dijangka berterusan hingga Ahad.

Menurut Pengurus Besar Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof, penyesuaian tugasan secara masa nyata akan dilaksanakan sekiranya cuaca memburuk.

“Ini bertujuan memastikan perkhidmatan kekal lancar dan keselamatan petugas terjamin. Langkah pemantauan tambahan telah diaktifkan, terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Pasukan pembersihan awam KDEBWM juga telah digerakkan ke beberapa lokasi yang terkesan dengan hujan lebat sejak awal pagi,” katanya kepada Media Selangor.

Pengurus Besar Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof

Beliau berkata antara tindakan segera yang dijalankan termasuk pembersihan longkang tersumbat, kutipan sisa pukal ringan yang berpotensi menghalang aliran air, serta pembersihan segera selepas hujan reda bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

“Fokus utama pembersihan tertumpu kepada kawasan yang dikenal pasti berisiko aliran air perlahan atau sering berlaku limpahan, khususnya di zon Shah Alam, Klang, Sepang dan Hulu Langat. Laporan terkini daripada pasukan lapangan dihantar secara berkala bagi membolehkan tindakan segera diambil,” ujarnya.

Setakat malam tadi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 3,967 orang daripada 1,094 keluarga.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Kelmarin, MetMalaysia memberi amaran bahawa Selangor, Perak dan sebahagian Pahang berpotensi terkesan akibat ribut Senyar dengan kelajuan angin mencecah 50 km/j, selain membawa hujan lebih 200mm dalam tempoh 24 jam.

Ribut Tropika Senyar merupakan kejadian pertama seumpamanya direkodkan terbentuk di perairan Selat Melaka, sekali gus meningkatkan risiko cuaca buruk dan hujan berterusan di negeri terlibat.

Susulan itu, Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman ribut tropika, dengan keselamatan rakyat menjadi keutamaan memandangkan negeri berdepan fenomena ini buat kali pertama dalam sejarah.