PETALING JAYA, 27 NOV: Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dijangka mulai berdepan kesan Ribut Tropika Senyar bermula tengah malam ini hingga Ahad, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 50 kilometer sejam.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena itu merupakan ribut tropika pertama yang terbentuk di perairan Selat Melaka, dengan unjuran hujan melebihi 200 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.
“Sebenarnya kita masih lagi pantau. Kita belum ada jumlah sebenar berhubung jumlah hujan yang akan turun. Tetapi di Acheh, mereka terima lebih 600mm hujan dalam tempoh 36 jam.
“Ketika hujan yang berlaku di Selangor sehingga banjir pada dua hari lepas, kita rekodkan antara 120 hingga 150mm sahaja. Jadi kita ramal banjir di Lembah Klang kali ini akan lebih teruk,” katanya pada sidang media tergempar di sini, hari ini.
Menurut beliau, Ribut Tropika Senyar kini menghampiri pantai barat Semenanjung dan dijangka bergerak ke Pantai Timur dan berakhir di Laut China Selatan pada Ahad ini.
Mohd Hisham berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah dimaklumkan mengenai situasi itu dan berada dalam keadaan bersiap siaga.
“Secara logiknya, banjir akan lebih teruk. Selain itu, angin kencang dan tanah runtuh mungkin berlaku. Namun ribut ini dijangka bergerak menuju ke Pantai Timur dengan melalui Selangor, Perak dan Pahang,” katanya.
Beliau menjelaskan, pembentukan Ribut Tropika Senyar di Selat Melaka dipengaruhi fenomena La Nina yang bertembung dengan sistem tekanan cuaca rendah di utara Semenanjung serta luruan monsun dari China.
Katanya, fenomena luar biasa ini amat istimewa kerana tidak pernah berlaku, selain turut menarik perhatian penyelidik serta pengkaji cuaca dari seluruh dunia.
“Malaysia pernah dilanda ribut tropika sebanyak dua kali iaitu Greg di Sabah pada 26 Disember 1996 dan Vamei pada 26 Disember 2001 di selatan Semenanjung.
“Ini yang ketiga dan paling istimewa kerana berlaku di Selat Melaka, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan luar biasa, sementara MetMalaysia akan mengemaskini amaran cuaca setiap tiga jam melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi.






