SHAH ALAM, 21 APRIL: Belanda berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Selangor menerusi pemeteraian satu perjanjian kerjasama bagi mempertingkat usaha mitigasi banjir, termasuk mengurangkan kerosakan akibat bencana berkaitan perubahan iklim, kata Duta Besarnya ke Malaysia, Jacques Werner.
Beliau berkata, kerjasama itu dijangka dapat diperkukuh khususnya dalam bidang pengurusan air, dengan kedua-dua pihak kini sedang menjalankan perbincangan serta beberapa inisiatif perintis.
“Di Belanda, kami mempunyai reputasi yang kukuh dalam pengurusan air dan kami menggalakkan pendekatan berasaskan alam semula jadi. Itulah yang sedang kami teroka bersama Selangor.
“Saya berharap kita dapat menuju ke arah memeterai perjanjian kerjasama dengan Selangor bagi memperhebat usaha bersama supaya apabila banjir berlaku, kerosakan serta kehilangan nyawa dapat diminimumkan.
“Kita juga boleh melihat bagaimana sungai dan laut dapat dimanfaatkan sebagai kelebihan, bukan sekadar risiko,” katanya kepada Media Selangor pada program Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Setia City Convention Centre, semalam.

Werner berkata, objektif utama langkah mitigasi itu adalah untuk mengurangkan impak banjir melalui perancangan lebih baik serta penyelesaian bersepadu.
Sebelum ini, dilaporkan kerajaan Belanda bekerjasama dengan Malaysia, dengan Selangor sebagai antara fokus utama, bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir melalui kepakaran negara itu termasuk pendekatan berasaskan alam semula jadi dan pengurusan air mampan di bawah skim Dutch Surge Support.
Projek berkenaan turut merangkumi inisiatif perintis bagi meningkatkan daya tahan banjir melalui pendekatan mesra alam dan mampan, termasuk satu projek yang dirancang di Sabak Bernam.
Mengulas projek perintis di Sabak Bernam, beliau berkata ia akan menghimpunkan semua pihak berkepentingan bagi membangunkan pendekatan bersama dan terselaras dalam mengurus kawasan berisiko banjir.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembentukan visi bersama antara pelbagai pihak serta menterjemahkannya kepada langkah praktikal bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan hulu dan hilir,” katanya.
Werner berkata, pendekatan perancangan bersepadu itu mencerminkan kepakaran Belanda dalam pengurusan air dan merupakan model kerjasama yang sedang diperkukuh antara kedua-dua pihak.








