SHAH ALAM, 22 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) digesa mengambil tindakan lebih tegas dalam memastikan kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem tebatan banjir tidak tertangguh hanya kerana proses tender.
Wakil rakyat Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata satu pelan alternatif perlu diwujudkan termasuk mekanisme kontrak jangka pendek atau penubuhan pasukan dalaman yang boleh digerakkan segera bagi menangani isu saliran tersumbat.
Beliau berkata masalah longkang tersumbat khususnya di kawasan Parit Matakucing, Klang di bawah seliaan MBDK masih berlarutan dan boleh menjejaskan keberkesanan projek tebatan banjir bernilai jutaan ringgit.
“Baru-baru ini, Pandamaran mendapat mesej dari seorang penduduk dan mendapati parit di kawasan berkenaan penuh dengan semak dan rumput. Apabila diselidik, jawapannya adalah "menunggu kontrak baharu melalui tender terbuka".
“Air tidak menunggu tender selesai untuk melimpah! Mengikut data teknikal, parit yang tersumbat dengan sedimen dan tumbuhan boleh kehilangan 50 peratus kapasiti aliran air.
“Tiada guna kita membina tebatan banjir jutaan ringgit sekiranya aspek penyelenggaraan diabaikan. Sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik tetap akan menyebabkan risiko banjir berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik saranan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya kerajaan mendapatkan kepakaran dari Belanda dalam pengurusan air, memandangkan negara itu antara peneraju dunia dalam bidang berkenaan.
“Sebanyak 26 peratus kawasan di Belanda berada di bawah paras laut, namun mereka berjaya mengurus risiko banjir dengan sangat berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerjasama strategik bersama pakar antarabangsa diwujudkan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, bukan sekadar tertumpu kepada pembelian aset atau jentera, sebaliknya turut melibatkan pemindahan ilmu dan teknologi.
Beliau turut menyarankan penggunaan pendekatan seperti konsep ‘room for river’ yang disesuaikan dengan topografi tempatan bagi memperkukuh sistem saliran negeri yang kebanyakannya berusia antara 40 hingga 60 tahun.
“Kerajaan Negeri disaran memperuntukkan dana khas bagi mendapatkan khidmat perunding antarabangsa dalam merangka pelan induk saliran Selangor 2050 yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.








