SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi Ribut Tropika Senyar yang kini dikesan merentasi Selat Melaka dan dijangka menjejaskan pesisir pantai barat antara Selangor dan Perak dalam masa terdekat.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan keselamatan rakyat menjadi keutamaan ketika negeri berdepan fenomena ribut tropika buat kali pertama dalam sejarah.
Menurut beliau, jentera respons telah digerakkan di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir dan kecemasan.
“Sebanyak 1,173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini bersiap siaga, mampu menampung sehingga 244,000 penduduk di seluruh Selangor.
"PPS tersebut melibatkan sekolah, masjid, dewan dan balairaya, dan semuanya telah dilengkapi keperluan asas untuk menampung mangsa sekiranya berlaku pemindahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, aset dan logistik turut diperkukuh bagi mempercepat gerak kerja bantuan.
“Sebanyak 344 jentera termasuk kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat serta 227 bot telah ditempatkan di lokasi strategik seluruh negeri bagi penghantaran bantuan dan operasi mencari serta menyelamat.
"Saya turut mengarahkan agensi bertanggungjawab supaya pemeriksaan keselamatan dibuat ke atas setiap unit kenderaan agar dapat terus dikerah untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Selangor mempunyai 45 stesen siren amaran yang akan diaktifkan sekiranya paras air mencapai tahap bahaya.
Pada masa sama, Amirudin mengingatkan penduduk agar mematuhi arahan pemindahan tanpa berlengah jika siren dibunyikan atau arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya siren di kawasan perumahan anda dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi arahan pemindahan tersebut dan daftarkan diri anda sekeluarga di Pusat Pemindahan Sementara yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Sebarang makluman rasmi cuaca akan dikemas kini melalui saluran media sosial MetMalaysia dan laman sesawang rasmi,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dijangka mulai berdepan kesan Ribut Tropika Senyar bermula tengah malam ini hingga Ahad, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 50 kilometer sejam.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena itu merupakan ribut tropika pertama yang terbentuk di perairan Selat Melaka, dengan unjuran hujan melebihi 200 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.
Katanya, fenomena luar biasa ini amat istimewa kerana tidak pernah berlaku, selain turut menarik perhatian penyelidik serta pengkaji cuaca dari seluruh dunia.




