MBPJ bersih longkang di kawasan ‘hotspot’ banjir

24 Apr 2026, 6:41 AM
MBPJ bersih longkang di kawasan ‘hotspot’ banjir

PETALING JAYA, 24 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan kerja pembersihan longkang, scrupper drain dan monsoon drain secara berkala di kawasan yang sering berlaku banjir bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

MBPJ memaklumkan kerja tersebut dilaksanakan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan sistem saliran sentiasa bersih dan berfungsi dengan baik.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik serta berfungsi dengan optimum, seterusnya mengurangkan risiko kejadian banjir di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan MBPJ.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Harapan, Jalan SS4D/10, Jalan Terowong FAS, Jalan SS22/3, Taman Buana PJS3, Jalan SS21/60, Jalan PJS 2/2, Jalan 51A/223, Jalan 19/4, Jalan 23/4 dan Jalan SS25/41.

Selain itu, kerja pembersihan selepas banjir turut dilakukan di Kampung Cempaka bagi memastikan kawasan kembali bersih dan selamat digunakan penduduk.

MBPJ turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang atau saliran awam.

“Tindakan ini penting bagi mengelakkan saliran tersumbat yang boleh menyebabkan banjir kilat,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut MBPJ, usaha mengurangkan risiko banjir akan terus diperkukuh melalui kerjasama dengan pelbagai agensi demi kesejahteraan penduduk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.