SHAH ALAM, 24 NOV: Situasi banjir di Selangor menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah mangsa meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh beberapa jam, disertai penutupan jalan serta gangguan utiliti di beberapa kawasan sejak awal pagi tadi.
Setakat 8.30 malam, seramai 1,732 mangsa daripada 474 keluarga telah dipindahkan ke 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berbanding hanya 327 orang petang tadi. Kenaikan mendadak ini memaksa lebih banyak PPS diaktifkan khususnya di Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang.
Laman Public Infobanjir memaklumkan lapan sungai telah melebihi tahap bahaya antaranya Sungai Langat, Batu 12 di Hulu Langat pada paras 42.4 m, Sungai Langat di Jenderam Hilir (11.55 m), Sungai Bernam, di Hulu Selangor (20.29 m) dan Sungai Binjai, di Meru (4.64 m).
Tingkat kesiapsiagaan, bantuan diumum esok
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pentadbiran negeri melakukan pemantauan rapi dan mengarahkan EXCO serta agensi berkaitan turun padang untuk menyantuni mangsa.
“Kita sedang mengemaskini maklumat terkini supaya tindakan segera dapat diambil bagi membantu penduduk terlibat,” katanya pada satu program tengah hari tadi.
Dalam ucapan penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor lewat petang, beliau berkata pengumuman bantuan khas kepada mangsa banjir akan dibuat esok, selain mengadakan taklimat khas pengurusan bencana bagi menyelaras tindakan di lapangan dengan lebih teratur.
MBI hulur bantuan awal, KDEBWM susun operasi sisa
Sementara itu, Yayasan MBI menggerakkan bantuan awal pagi tadi ke dua PPS di Sabak Bernam, melibatkan kit keperluan asas dan bantuan segera kepada keluarga terjejas.
Operasi pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) turut terjejas ekoran hujan berterusan, namun syarikat itu kini menyusun semula jadual logistik bagi memastikan kawasan terlibat dapat diliputi sebaik keadaan mengizinkan.
Negeri lain turut terjejas
Selain Selangor, beberapa negeri lain turut berdepan situasi semakin kritikal malam ini. Kelantan mencatat 9,882 mangsa di 40 PPS, manakala Perak (1,786 orang, 20 PPS), Kedah (1,088 orang, 9 PPS) dan Perlis (2,017 orang, 9 PPS).
Walaupun berada di Kenya untuk lawatan rasmi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap banjir yang menjejaskan tujuh negeri dan lebih 15,000 mangsa, serta menasihati penduduk di kawasan berisiko agar kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.







