SHAH ALAM, 24 NOV: Operasi kutipan sisa pepejal dan kerja pembersihan awam oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini terjejas susulan hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di Selangor.
Gangguan tersebut berpunca daripada kesukaran akses laluan lori-lori kompaktor dan armroll ke tiga tapak pelupusan utama di negeri ini.
Menurut kenyataan KDEBWM, lokasi yang terlibat ialah Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Tanjung 12 di Sepang, Jeram di Kuala Selangor dan Kuang di Gombak.
“Kesan kepada laluan dan pergerakan ke tapak-tapak pelupusan tersebut telah memberi implikasi kepada jadual kutipan sisa pepejal di beberapa kawasan di seluruh Negeri Selangor.,” menurut kenyataan itu.
Bagi mengurangkan kesan terhadap perkhidmatan, KDEBWM sedang menyusun semula operasi dan memperkemas jadual logistik agar kawasan terlibat dapat diliputi sebaik keadaan mengizinkan.
Agensi itu turut memohon kerjasama serta kesabaran penduduk sekiranya berlaku kelewatan kutipan di kawasan masing-masing.
Pemantauan berterusan turut dilakukan bagi memastikan sebarang perkembangan cuaca dan gangguan operasi dapat ditangani dengan segera.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dikemukakan kepada Pusat Aduan Setempat KDEBWM melalui talian 1-800-88-2824 atau aplikasi iClean Selangor.
Selain itu, penduduk juga boleh menghantar mesej WhatsApp ke nombor 019-375 9692 atau 019-375 3980 serta emel ke iclean@kdebwm.com




