SHAH ALAM, 24 NOV: Lebih 1,000 mangsa banjir kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor susulan hujan berterusan sejak malam tadi.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan mengumumkan bantuan kepada mangsa esok, termasuk sesi taklimat khas pengurusan banjir bagi memastikan tindakan lebih teratur di peringkat lapangan.
“Esok kita akan umumkan bantuan dan sokongan kepada mangsa banjir setelah meneliti perkembangan yang berlaku. Malam ini juga barisan EXCO akan turun ke PPS.
“Esok juga kita akan adakan taklimat khas bagaimana untuk kita tangani banjir, dan sila maklumkan jika memerlukan apa-apa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Terdahulu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memantau rapi perkembangan banjir di beberapa daerah dan mengarahkan EXCO serta pegawai agensi berkaitan turun ke lapangan bagi menyantuni mangsa terjejas.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan hujan berterusan dijangka berlanjutan sehingga Rabu, dengan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan untuk Perlis, beberapa daerah di Kedah, Kelantan serta Besut di Terengganu.
Amaran Hujan Berterusan (Buruk) turut melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu, manakala tahap Waspada dikeluarkan untuk beberapa daerah di Perak, Pahang dan Selangor.






