SHAH ALAM, 24 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menggerakkan bantuan awal bagi membantu mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabak Bernam.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor bantuan berbentuk keperluan harian itu akan diserahkan sebentar lagi bagi memberi keselesaan kepada mangsa sepanjang berada di PPS.
"Antara bantuan yang akan diedarkan makanan seperti biskut, roti, air mineral, selimut, bantal, cerek dan lampin pakai buang.
"Setakat ini, kita agihkan di dua PPS tetapi maklumat terkini ada lagi yang akan dibuka. Kita akan tunggu maklumat terkini supaya bantuan dapat disalurkan di PPS lain," katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Ahmad Azri memaklumkan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) bagi mendapatan maklumat lanjut.
"Buat masa ini, apa yang penting adalah menyalurkan bantuan awal di PPS supaya mereka selesa sementara menunggu air surut dan pulang ke kediaman masing-masing.
"Kita juga sentiasa berhubung dengan JKM dan Yide supaya bantuan dapat diselaraskan termasuk memastikan keperluan mencukupi," ujarnya.
Sementara itu, laman web info bencana JKM memaklumkan lima PPS dibuka dengan menempatkan 86 mangsa daripada 23 keluarga di Selangor setakat tengah hari ini.
Jelasnya, dua PPS di Sabak Bernam, satu masing-masing di Hulu Langat, Kuala Selangor dan Shah Alam.





