ad

Hari Penjaja Selangor buka peluang usahawan mikro berkembang, tarik ribuan pengunjung

22 Nov 2025, 11:10 AM
Hari Penjaja Selangor buka peluang usahawan mikro berkembang, tarik ribuan pengunjung
Hari Penjaja Selangor buka peluang usahawan mikro berkembang, tarik ribuan pengunjung
Hari Penjaja Selangor buka peluang usahawan mikro berkembang, tarik ribuan pengunjung
Hari Penjaja Selangor buka peluang usahawan mikro berkembang, tarik ribuan pengunjung

SUBANG JAYA, 22 NOV: Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Selangor (HPPKS) berlangsung meriah dengan ribuan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai jualan dan menyertai aktiviti menarik.

Pengarah Urusan Fruit Addicts Elfort Chan, 32 berkata program ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mencuba produk di serata daerah sekali gus memperluas pendedahan terhadap kepelbagaian barangan dan makanan tempatan.

"Produk jus segar yang saya jual sebelum ini hanya tersedia di sekitar Klang. Melalui peluang berniaga di sini, komuniti setempat di luar Klang kini berpeluang mengenali dan mencuba produk saya,” katanya kepada Media Selangor. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap program seumpama ini diperbanyakkan untuk masa akan datang supaya lebih ramai peniaga dan komuniti setempat dapat merasai manfaat serta mengenali produk tempatan. 

Bagi Pengasas Kopi Opu Kartini Ramli, 43, pula menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Platform Selangor (PLATS) kerana memberi sokongan kepada mereka melalui inisiatif tapak percuma sepanjang penganjuran. 

“Alhamdulillah, inisiatif ini sangat bermakna bagi usahawan mikro meningkatkan perniagaan. Kali ini, saya cuba berniaga sambil suami bermain ukulele untuk menarik perhatian dan menceriakan pengunjung,” ujarnya.

Kartini juga mengakui PLATS banyak membantu perjalanannya sebagai usahawan mikro sejak 2020 dan melalui program U-PLATS, jualannya melonjak sehingga 70 peratus hasil pemasaran dan penjenamaan yang dipertingkatkan.

Manakala K Pakialetchumy, 46, berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama beliau membuka gerai dalam acara seumpama ini sepanjang enam tahun berniaga makanan tradisional masyarakat India, pani puri di Kuala Selangor. 

“Saya sangat gembira kerana berpeluang untuk berniaga bersama para peniaga yang lain dan lebih manis sekali, saya ialah satu-satunya peniaga India di sini. Ini peluang untuk saya memperkenalkan makanan tradisional masyarakat India kepada semua pengunjung. 

Setiap peniaga dan pengunjung yang hadir memberikan sokongan yang sangat baik kepada saya walaupun berlainan bangsa dan agama, ia menunjukkan semangat perpaduan dan keakraban dalam komuniti yang terjalin melalui program ini,” tambahnya. 

Jualan Ehsan Rahmah sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di The Roundabout @ Putra Heights Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

HPPKS dianjurkan melalui kerjasama MBI dan Agrobank, menghimpunkan 2,000 usahawan mikro dan kecil, 12 PBT serta agensi kerajaan, dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung.

Program selama dua hari itu turut menyediakan ruang berniaga secara percuma kepada peniaga kecil bagi memasarkan produk, mendapatkan maklumat bantuan keusahawanan serta menyertai aktiviti pembangunan kapasiti.

Antara aktiviti menarik lain ialah Eco Free Market (agihan barangan terpakai secara percuma), jualan telur RM1 sepapan, pertunjukan helikopter akrobatik kawalan jauh, Dapur PLATS bersama Didie Alias, serta pertandingan Cef Cilik dekorasi kek.

Acara turut menampilkan beberapa anugerah khusus termasuk Anugerah Kutipan Kupon Digital Terbanyak, Battle of the Best Staff, dan Anugerah Penjaja Paling Bersih & Mesra Pelanggan.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Ismail Salim menyerahkan cenderamata kepada Didie Alias dalam program Dapur PLATS sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di The Roundabout @ Putra Heights Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR