SUBANG JAYA, 22 NOV: Inisiatif jualan telur RM1 sepapan sempena Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025 membantu pengunjung merancang perbelanjaan mingguan dengan lebih baik, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Salah seorang pembeli, Nur Izzati Kamarul Zaman, 40, berkata program itu memberi peluang untuk membeli stok simpanan dengan harga rendah sekali gus dapat memastikan keperluan keluarga dapat dipenuhi tanpa membebankan kewangan.

“Inisiatif ini sangat bermanfaat terutamanya apabila harga barang sentiasa berubah dan meningkat. Ia menjadi penyelamat bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan bekalan asas dengan harga berpatutan,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi Farhana Ramli, 32, pula amat menghargai inisiatif Kerajaan Negeri dengan memberi kelegaan segera melalui jualan telur RM1 sepapan yang bukan sahaja meringankan kos hidup malah lebihan perbelanjaan itu boleh digunakan untuk keperluan lain.
“Saya amat berterima kasih kerana inisiatif ini membolehkan saya untuk membeli keperluan asas tanpa membebankan bajet keluarga. Ia juga menjadi tarikan pada program hari ini kerana orang ramai sanggup datang awal untuk membelinya,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelia Cawangan Jualan Ehsan Rahmah (JER) dari Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Siti Aishah Solaihah Abd Halim Hapiz memaklumkan sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan pengunjung mula berkumpul seawal jam 8 pagi.
“Telur RM1 sepapan dihadkan kepada 1,000 pengunjung terawal. Ia terbuka kepada semua yang berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia. Setiap pengunjung hanya dibenarkan membeli satu papan supaya orang lain juga berpeluang mendapatnya.
“Saya juga berharap inisiatif ini boleh diteruskan pada masa akan datang bagi membantu rakyat kurang berkemampuan mendapatkan protein mencukupi dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan keluarga secara menyeluruh,” tambahnya.





