ad

MB rasmi Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor 2025, sasar 15,000 pengunjung

21 Nov 2025, 2:38 PM
MB rasmi Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor 2025, sasar 15,000 pengunjung
MB rasmi Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor 2025, sasar 15,000 pengunjung
MB rasmi Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor 2025, sasar 15,000 pengunjung

SUBANG JAYA, 21 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini merasmikan sambutan Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2025 yang berlangsung selama dua hari di The Roundabout @ Putra Heights.

Bertemakan “Penjaja & Peniaga Kecil Pemacu Ekonomi Digital Selangor”, penganjuran julung kali ini memberi penekanan kepada peningkatan penggunaan teknologi dan transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil.

Sejurus pelancaran, Amirudin yang diiringi Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim melawat reruai penjaja dan peniaga termasuk penyertaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

HPPKS dianjurkan melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Agrobank, menghimpunkan 2,000 usahawan mikro dan kecil, 12 PBT serta agensi kerajaan, dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung.

Program selama dua hari itu turut menyediakan ruang berniaga secara percuma kepada peniaga kecil bagi memasarkan produk, mendapatkan maklumat bantuan keusahawanan serta menyertai aktiviti pembangunan kapasiti.

Antara aktiviti menarik lain ialah Eco Free Market (agihan barangan terpakai secara percuma), jualan telur RM1 sepapan, pertunjukan helikopter akrobatik kawalan jauh, Dapur PLATS bersama Didie Alias, serta pertandingan Cef Cilik dekorasi kek.

Acara turut menampilkan beberapa anugerah khusus termasuk Anugerah Kutipan Kupon Digital Terbanyak, Battle of the Best Staff, dan Anugerah Penjaja Paling Bersih & Mesra Pelanggan.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis termasuk Black Hanifah, Afiq Adnan dan Astravella, selain cabutan bertuah dan pemberian kupon percuma PLATS bernilai RM10.