ad

Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus

23 Nov 2025, 4:00 AM
Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus
Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus
Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus
Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus
Hari Penjaja Selangor 2025 lonjak jualan peniaga hingga 100 peratus

SUBANG JAYA, 23 NOV: Penganjuran Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2025 di The Roundabout @ Putra Heights yang julung kali dianjurkan membuktikan impaknya apabila terdapat peniaga merekodkan peningkatan jualan sehingga 100 peratus.

Peniaga Buko Cedok Jelly Ball, Nurul Atika Mustafa yang berniaga di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak dua tahun lalu, berkata sebelum ini dengan harga RM10, beliau mampu menjual sehingga 100 cawan sehari.

“Menu ini diinspirasikan dari Filipina. Saya dulu berniaga agar-agar, kemudian bila viral jelly ball, saya ubah suai kepada buko cedok jelly ball. Itu yang buat ia istimewa.

Nurul Atika Mustafa pemenang Anugerah Penjaja Paling Bersih & Mesra Pelanggan (The Roundabout) bercakap kepada media ketika Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di Putra Heights, Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah, jualan saya meningkat 100 peratus sepanjang HPPKS ini. Sambutan sangat luar biasa, ramai pelanggan baharu datang mencuba,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga memenangi Anugerah Penjaja Paling Bersih & Mesra Pelanggan (The Roundabout) tidak menyangka dengan kemenangan itu dan menyifatkannya sebagai penghargaan atas usahanya menjaga kebersihan dan keselesaan pelanggan.

Pengasas Fruit Addicts, Chan Seong Wee, muncul pemenang Anugerah Penggunaan Kupon PLATS Terbanyak Mengikut PBT mewakili Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada HPPKS 2025.

Chan berkongsi, sepanjang HPPKS, sambutan terhadap Fruit Addicts sangat baik dengan lebih 100 cawan jus terjual, menjana nilai jualan antara RM600 hingga RM1,000 dan 300 transaksi, kebanyakannya menggunakan kupon PLATS.

Chan Seong Wee pemenang Anugerah Penggunaan Kupon PLATS Terbanyak Mengikut PBT bercakap kepada media ketika Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di Putra Heights, Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kami guna buah yang bagus, ‘pure juice’. Di kedai saya ada lebih 100 jenis jus. Antara paling laris ialah avocado.

“Saya sangat gembira dan tidak menyangka menang. Terima kasih kepada pasukan Fruit Addicts yang sentiasa sediakan jus terbaik untuk pelanggan,” kongsinya.

Dalam pada itu, peniaga Kopi Opu, Kartinie Ramli, yang beroperasi di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), diumumkan sebagai Pemenang Stall Terbaik Reruai PBT.

Kartinie yang sudah dua tahun berniaga di Dataran Shah Alam berkata beliau tidak menyangka dipilih sebagai pemenang, terutama apabila tema dekorasi klasik diumumkan pada saat akhir.

“Alhamdulillah, sangat gembira bila dipilih. Tema pun kami dapat saat akhir, jadi kami bawa sahaja barang klasik dari rumah sendiri dan rumah mentua,” katanya.

Kartinie Ramli Pemenang Stall Terbaik Reruai PBT bercakap kepada media ketika Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di Putra Heights, Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Kopi Opu menawarkan pelbagai menu kopi, namun tarikan utama ialah Rasberry Latte, yang menjadi pilihan pelanggan tetap di Dataran Shah Alam.

“Setiap hari, kami mampu jual sekitar 50 cawan, manakala pada hujung minggu jumlahnya mencecah 100 cawan ke atas,” ujarnya.

Bertemakan “Penjaja & Peniaga Kecil Pemacu Ekonomi Digital Selangor”, penganjuran julung kali ini memberi penekanan kepada peningkatan penggunaan teknologi dan transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil.

HPPKS dianjurkan melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Agrobank, menghimpunkan 2,000 usahawan mikro dan kecil, 12 PBT serta agensi kerajaan dengan kehadiran 15,000 pengunjung.

Program dua hari itu turut menyediakan ruang berniaga secara percuma kepada peniaga kecil bagi memasarkan produk, mendapatkan maklumat bantuan keusahawanan serta menyertai aktiviti pembangunan kapasiti.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan hadiah motosikal kepada pemenang cabutan bertuah ketika Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di Putra Heights, Subang Jaya pada 22 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR