KLANG, 21 JULAI: Pelancaran sistem digital pengurusan pinjaman Dana Plus mampu mempercepat proses pembiayaan dengan permohonan bawah RM10,000 boleh diluluskan dalam tempoh 48 jam.
Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor, Nilammasri Jaafar berkata, aplikasi yang mula digunakan sejak 1 Januari 2025 itu menjadi platform utama bagi menguruskan pembiayaan mikro secara lebih telus, efisien dan pantas.
"Dana Plus ini adalah satu platform untuk mempercepatkan proses pembiayaan, kelulusan serta pengeluaran pembiayaan.
"Sistem ini untuk memanfaatkan pembiayaan mikro kredit kepada usahawan Selangor yang layak. Sebab kita tahu peniaga mikro ini susah untuk mendapat akses pembiayaan di bank ataupun di platform yang lebih komersial," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Aplikasi Digital Hijrah Selangor - DANA PLUS di Hotel Wyndham Acmar, di sini hari ini.
Katanya, Dana Plus juga akan menjadi platform utama untuk semua pembiayaan mikro Hijrah pada masa akan datang, termasuk Dana Pantas dan Dana Niaga Tani yang akan dilancarkan pada Ogos depan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Dana Plus melalui fasa percubaan sejak hujung 2024 sebelum mula beroperasi secara rasmi pada tahun lalu.
Beliau berkata, sistem digital berkenaan dapat mengurangkan campur tangan manusia dalam proses pembiayaan selain memastikan data dan maklumat yang direkodkan lebih tepat serta telus.
"Dengan kaedah ini kurang intervensi manusia dan kita dapat semuanya berada dalam talian. Data serta maklumatnya juga sangat tepat dan kita dapat mengelakkan isu-isu ketirisan, kecuaian dan sebagainya," katanya.
Menurut beliau, penggunaan sistem itu selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pembiayaan usahawan menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih tersusun dan berkesan.
"Setakat hari ini kita dah belanja lebih kurang RM250 juta dan nilaian perbelanjaan ataupun nilaian pinjaman yang telah disalurkan mencecah RM900 juta.
"Ini hampir empat kali ganda daripada apa yang telah Kerajaan Negeri kemukakan bermakna sustainability sistem pinjaman mikro kita ini boleh tahan walaupun masih ada isu-isu seperti peminjam-peminjam tegar dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, usahawan, Mohd Firdaus Zawawi, 39, berkata pengalaman menggunakan aplikasi Dana Plus memudahkannya membuat permohonan pembiayaan tanpa perlu hadir ke kaunter.
Beliau yang menjalankan perniagaan penyaman udara, elektrikal dan mesin layan diri berkata, keputusan permohonan pembiayaan diterima dalam tempoh kurang dua hari selepas permohonan dibuat menerusi aplikasi berkenaan.
"Sistem dia mudah, untuk orang yang tak pandai IT macam saya pun senang sebab sama macam aplikasi bank online," katanya yang mula menggunakan Dana Plus sejak Februari lalu.
Katanya, kemudahan pemantauan baki pinjaman dan pembayaran balik melalui aplikasi turut membantu usahawan menguruskan komitmen pembiayaan dengan lebih teratur.
Beliau berkata, penggunaan kaedah auto debit juga memberi kemudahan kepada usahawan kerana bayaran dibuat secara automatik sekali gus mengelakkan terlupa membuat pembayaran.
"Kalau kita terlupa, dia automatik (tolak). Takda lah nama kita pun masuk dalam CCRIS. Kadang-kadang sibuk dan tidak perasan perkara kecil macam itu," katanya.








