SHAH ALAM, 30 APRIL: Peserta program Boostcamp PLATS mencipta rekod baharu apabila berjaya mencatat jualan sebanyak RM79,259 dalam tempoh sejam menerusi sesi jualan langsung.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pendigitalan dalam memperkasa usahawan mikro meningkatkan jualan dalam tempoh singkat.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pencapaian itu direkodkan dalam siri ketiga program melibatkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Menurutnya, program itu memberi penekanan kepada kemahiran pemasaran digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknik jualan secara langsung serta pemasaran melalui platform seperti Google.
"Saya nampak prestasi mereka sangat baik. Melalui sesi jualan secara langsung malam tadi, peserta telah memecahkan rekod sebelum ini dengan mencatat jualan melebihi RM79,000 dalam tempoh satu jam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutup Boostcamp PLATS di Hotel Mardhiyah di sini hari ini.
Jelasnya, program itu akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan perubahan dunia perniagaan, termasuk penekanan terhadap teknologi baharu seperti AI.
"Dunia perniagaan sentiasa berubah. Dulu mungkin tiada AI, sekarang sudah ada. Jadi kita ajar bagaimana usahawan menggunakan teknologi ini untuk menghasilkan promosi produk mereka," katanya.
Pada masa sama, peserta turut dibekalkan dengan peranti pembayaran serta kemudahan transaksi bagi membantu pengurusan perniagaan selain meningkatkan imej profesional melalui penyediaan jaket khas program.
Ahmad Azri berkata pemilihan peserta juga dibuat lebih teliti oleh pihak PBT, melibatkan usahawan yang mempunyai produk bagi memastikan impak program lebih besar terhadap perkembangan perniagaan mereka.
Selepas tamat program, peserta akan dibimbing ke peringkat seterusnya termasuk pensijilan halal melalui inisiatif UPLATS Halal serta peluang menembusi pasaran antarabangsa menerusi Uplats Expand.
"InsyaAllah perjalanan itu ada daripada perniagaan kecil sehingga mampu menempatkan produk di pasaran lebih besar termasuk ke luar negara,” katanya.
Peserta manfaat ilmu digital, kembangkan perniagaan

Sementara itu, peserta Leonard Oh, 56, berkata program tersebut memberi peluang kepadanya mempelajari kemahiran baharu, khususnya dalam penggunaan media sosial bagi memperluas perniagaan keluarga yang telah beroperasi lebih 100 tahun.
"Program ini beri peluang untuk saya belajar teknologi baharu seperti TikTok dan Facebook bagi kembangkan perniagaan supaya lebih ramai kenal produk kami, bukan hanya dalam komuniti Cina sahaja," katanya.
Leonard yang menjalankan perniagaan biskut tradisional keluarganya di Batang Kali berkata, beliau juga merancang mendapatkan pensijilan halal dengan bantuan PLATS.
Seorang lagi peserta, Sarimah Mohamed, 58, berkata program itu membantu peniaga kecil sepertinya memahami penggunaan platform digital secara lebih praktikal.
"Walaupun saya sudah lama berniaga secara dalam talian, saya sebenarnya tidak tahu cara gunakan platform seperti Google dengan betul.
"Dalam program ini, semua itu diajar dengan jelas dan mudah. Kami juga belajar cara berkomunikasi dengan betul," katanya yang mengusahakan perniagaan minyak herba asmak.

Beliau turut berharap program berkenaan diperluaskan kepada penjaja kecil khususnya di pasar malam yang menurutnya masih kurang pendedahan terhadap teknologi digital.
"Ramai peniaga kecil tidak nampak kepentingan program seperti ini. Saya harap ia diperluaskan supaya lebih ramai dapat manfaat," katanya.
Dalam sesi sama, kumpulan Sarimah turut mencatat jualan sebanyak RM29,000 dalam tempoh sejam hasil gabungan strategi jualan dalam dan luar platform digital serta kerjasama berpasukan.
Bagi usahawan muda, Mohd Sufi Fitri Mohd Suriga, 27, program tersebut memberinya kelebihan dalam membina rangkaian perniagaan selain meningkatkan pemahaman terhadap tingkah laku pelanggan.

"Selain ilmu digital, saya dapat belajar daripada usahawan lain yang lebih berpengalaman serta memahami cara mengenali pelanggan dengan lebih baik," katanya.
Sufi yang menjalankan perniagaan pakaian berkata, peserta turut diajar menghasilkan serta menyunting video bagi tujuan pemasaran.










