SHAH ALAM, 19 NOV: Universiti Islam Selangor (UIS) menyambut baik tekad Kerajaan Selangor menanggung 50 peratus yuran pengajian kepada 4,000 pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian di UIS dan Universiti Selangor (Unisel) bagi sesi kemasukan September 2026.
Naib Canselor UIS Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata subsidi yuran berjumlah RM17.378 juta itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membuka lebih banyak peluang pelajar mengakses pendidikan tinggi berkualiti.
“Ini adalah langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan generasi muda Selangor dapat melanjutkan pelajaran tanpa terbeban kos.
”Ia selaras dengan visi kita untuk melahirkan graduan berpengetahuan, berdaya saing dan berakhlak,” katanya dalam kenyataan mengulas inisiatif pendidikan dalam Belanjawan Selangor 2026.
Selain subsidi yuran, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM5 juta untuk Hadiah Pengajian IPT Selangor (HPIPT) yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 mahasiswa.
Inisiatif Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) pula dinaikkan kepada RM15 juta.
Dr. Mohd Farid turut memuji penambahbaikan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara yang memberi tumpuan kepada pelajar UIS dan UNISEL, sekali gus meningkatkan keberkesanan sokongan dana kepada mereka yang memerlukan.
UIS menyediakan pelbagai program pengajian dari peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat permohonan melalui laman web rasmi www.uis.edu.my atau mengikuti media sosial rasmi di @uisrasmi.
Belanjawan Selangor 2026 yang dibentang pada 14 November lalu memperuntukkan lebih RM136.2 juta bagi pendidikan dan pembangunan modal insan, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri.
Peruntukan ini termasuk RM93 juta untuk program pendidikan dan RM3.7 juta untuk pembangunan modal insan.
Selain itu, RM8 juta disalurkan melalui Program Iltizam Selangor Penyayang (IS) termasuk HPIPT, Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) dan Iltizam Anak Selangor (ANAS), manakala lebih RM31.5 juta diperuntukkan untuk Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).






