ad

Belanjawan Selangor 2026 pastikan tiada rakyat terpinggir - MB

12 Nov 2025, 2:00 PM
Belanjawan Selangor 2026 pastikan tiada rakyat terpinggir - MB
Belanjawan Selangor 2026 pastikan tiada rakyat terpinggir - MB

SHAH ALAM, 12 NOV: Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu kemakmuran ekonomi dan kemajuan negeri agar tiada rakyat yang terpinggir, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri kekal berpegang kepada prinsip amanah, tanggungjawab serta semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Insya-Allah, Belanjawan Selangor 2026 dirangka dengan komitmen untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kemajuan negeri bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir.

“Kerajaan Negeri kekal berpegang kepada prinsip amanah, tanggungjawab dan proses semak imbang di Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menghadiri Taklimat Rang Undang-Undang dan Mesyuarat Pre-Council sebagai persediaan menjelang Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor 2025.

Taklimat berkenaan turut dihadiri barisan EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) serta ketua-ketua jabatan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai persediaan akhir menjelang pembentangan belanjawan tersebut.

Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Negeri Selangor, Jumaat ini.

Amirudin sebelum ini menjelaskan belanjawan berkenaan merupakan “belanjawan peralihan” yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), tetapi turut meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal dibentangkan tahun hadapan.