SHAH ALAM, 12 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei mencadangkan agar Kerajaan Negeri menyediakan vaksin Influenza A secara percuma kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pelajar sekolah.
Bagi kumpulan bukan berisiko tinggi, beliau menyarankan pelaksanaan skim subsidi 50 peratus bagi vaksin tersebut.
"Skim subsidi ini di mana kerajaan dan rakyat masing-masing menanggung separuh kos, bagi membantu mengurangkan beban kewangan isi rumah," katanya kepada Media Selangor.
Selain itu, Perng Fei turut menekankan keperluan menambah baik Skim Iltizam Selangor Sihat yang ketika ini memperuntukkan RM500 setahun bagi kategori keluarga dengan pendapatan isi rumah bawah RM3,000 dan RM250 setahun bagi individu berpendapatan bawah RM2,000.
“Saya mencadangkan jumlah bantuan kesihatan bagi kategori keluarga dinaikkan kepada RM1,000 setahun, kerana kadar semasa RM500 tidak lagi mencukupi untuk menampung kos rawatan dan ubat-ubatan,” katanya.

Sementara itu, ADN Balakong Ong Chun Wei menggesa Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan pembangunan berbanding perbelanjaan pentadbiran bagi memastikan lebih banyak dana disalurkan terus kepada projek kesihatan dan pembinaan komuniti.
Menrutunya, keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan semakin meningkat seiring pertumbuhan penduduk di negeri ini.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh pelaburan dalam sektor ini untuk membantu pesakit berpendapatan rendah serta memastikan akses rawatan lebih saksama,” katanya.
Selain isu kesihatan, Chun Wei turut menegaskan keperluan menambah baik penyelenggaraan jalan di kawasan pangsapuri kos rendah yang sering terabai akibat kekurangan dana pengurusan.
“Banyak kawasan perumahan kos rendah mengalami jalan berlubang dan rosak kerana kekangan kewangan.
"Saya akan cadangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya projek penyelenggaraan jalan besar turut dilanjutkan ke kawasan pangsapuri kos rendah, agar semua penduduk menikmati kemudahan yang selamat dan selesa,” katanya.
Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November ini, dengan fokus terhadap ketahanan fiskal, pembangunan modal insan serta memperkukuh kedudukan strategik Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, sebelum ini menjelaskan bahawa belanjawan tersebut merupakan “belanjawan peralihan” yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), tetapi turut meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentang pada tahun hadapan.




