Selangor perkasa peluang kerja OKU, penyertaan swasta meningkat

22 Okt 2026, 12:08 AM
Selangor perkasa peluang kerja OKU, penyertaan swasta meningkat
Selangor perkasa peluang kerja OKU, penyertaan swasta meningkat
Selangor perkasa peluang kerja OKU, penyertaan swasta meningkat
Selangor perkasa peluang kerja OKU, penyertaan swasta meningkat

KLANG, 22 OKT: Semakin banyak syarikat swasta membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di Selangor bagi membantu mereka menjana pendapatan dan berdikari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negeri.

“Kita juga gembira kerana semakin banyak syarikat menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan meskipun berdepan keterbatasan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor 2026 di Hotel Wyndham Acmar, di sini, malam tadi.

Menurutnya, sambutan positif itu dapat dilihat menerusi program kerjaya khas OKU anjuran Kerajaan Negeri baru-baru ini dengan penyertaan menggalakkan daripada pencari kerja serta syarikat yang menawarkan pekerjaan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beriucap merasmikan Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 21 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jelas beliau, usaha memperkasa golongan itu tidak boleh bergantung kepada bantuan kebajikan semata-mata, sebaliknya perlu disokong melalui dasar serta ekosistem yang memberi ruang kepada mereka menyertai pasaran pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

"Penubuhan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) membuktikan komitmen kita yang harus melangkaui sekadar penganjuran program atau rasa simpati terhadap golongan OKU.

"Ia harus diikuti dengan dasar dan pendirian negeri, termasuk undang-undang, peraturan serta pekeliling kepada agensi berkaitan bagi memastikan golongan ini mendapat sokongan sewajarnya," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata MTOS berperanan meneliti dasar dan keperluan golongan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif lebih tersusun serta berkesan.

Katanya, pendekatan menyeluruh turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan portfolio EXCO Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan awam, akses mobiliti, pembangunan sumber manusia serta program sukan yang mesra OKU.

"Di peringkat PBT mungkin boleh menilai keperluan fasiliti dan kemudahan awam.

"Di pihak EXCO yang lain, bukan sahaja membuat program khas untuk portfolionya, tetapi ada program khas untuk orang kurang upaya, baik bidang sukan, baik bidang pembangunan sumber manusia, baik dalam program mobiliti," katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor (Pendengaran) selepas Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 21 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin turut menegaskan usaha membentuk masyarakat inklusif memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri berdaya huni yang memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menikmati kemajuan tanpa mengira keupayaan fizikal.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.