ad

Dari kebun kecil kepada tanaman berskala besar, usaha komuniti semarakkan rezeki

21 Okt 2025, 4:56 AM
Dari kebun kecil kepada tanaman berskala besar, usaha komuniti semarakkan rezeki
Dari kebun kecil kepada tanaman berskala besar, usaha komuniti semarakkan rezeki

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Bermula daripada sekadar kebun kecil di kawasan kejiranan, usaha komuniti tempatan kini berkembang menjadi projek tanaman berskala besar yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Ketua Jawatankuasa Pelaksana Kebun Kejiranan Bandar LA21KL, Latif Abu Hassan berkata pada peringkat awal, kebun komuniti hanya menumpukan kepada tanaman sayur-sayuran mudah yang sering digunakan dalam masakan harian.

Baginya, Festival Taman Kuala Lumpur 2025 menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan hasil usaha kebun komuniti kepada orang ramai.

“Festival ini merupakan pendekatan yang baik dalam berkongsi kemahiran dan pengalaman berkaitan tanaman kebun komuniti kepada pengunjung yang ingin memulakan penanaman sayur-sayuran,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Jawatankuasa Pelaksana Kebun Kejiranan Bandar LA21KL, Latif Abu Hassan bercakap kepada Media Selangor ketika Festival Taman Kuala Lumpur 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Latif, festival berkenaan turut menampilkan penyertaan 10 kebun komuniti yang mempamerkan kepelbagaian hasil tanaman serta kepakaran masing-masing.

“Hari ini kita ada 10 kebun yang sanggup menunjukkan kemahiran, kehebatan dan juga menunjukkan daya usaha, perhatian dan ilmu berkaitan penanaman.

“Kami di Seri Perlis lebih kepada komuniti, melibatkan penduduk yang ingin menyertai bersama-sama mengusahakan tanaman,” katanya.

Tambahnya, tanaman seperti tembikai susu dan cili berpotensi dijalankan secara besar-besaran kerana mempunyai permintaan pasaran yang tinggi dan boleh memberi pulangan lumayan kepada komuniti setempat.

“Setiap jualan yang dijalankan akan memberi pulangan keuntungan kepada komuniti yang bersama-sama mengusahakan tanaman tersebut,” katanya.

Selain menjana pendapatan, beliau berkata, penyertaan kebun komuniti dalam festival ini juga berfungsi sebagai tarikan kepada pengunjung untuk lebih menghargai dan mengamalkan gaya hidup lestari.

“Reruai kebun komuniti ini juga adalah bagi menarik minat orang ramai untuk cenderung kepada penanaman berasaskan keperluan sayuran harian,” ujarnya.

Festival yang berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 26 Oktober di Taman Tasik Titiwangsa ini mengetengahkan keupayaan komuniti bandar mengusahakan kebun kecil sehingga mampu dikembangkan kepada projek pertanian berskala besar yang berdaya saing dan menguntungkan.