KPKM sedia bantuan, khidmat nasihat buka kebun komuniti di seluruh negara

5 Jun 2026, 6:54 AM
KPKM sedia bantuan, khidmat nasihat buka kebun komuniti di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan pelbagai bantuan kewangan, dana sokongan dan khidmat nasihat bagi menggalakkan pembukaan lebih banyak kebun komuniti Fdi seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Norazman Ayob berkata inisiatif pertanian komuniti itu adalah antara agenda yang diberikan penekanan oleh kementerian bagi menggalakkan masyarakat mempertingkatkan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti pertanian bukan sahaja membantu memastikan kelangsungan bekalan makanan domestik, malah menjadi serampang dua mata dalam mendepani isu kesihatan awam seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis.

"Hasrat kita adalah untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan. Kita maklum masyarakat Malaysia mempunyai peratusan penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti yang tinggi.

"Jadi melalui kebun komuniti ini, kita bukan sahaja mahu masyarakat terlibat dalam pertanian atau mendapat keterjaminan makanan, tetapi mereka sendiri dapat menyediakan bekalan makanan yang lebih segar, berkhasiat dan sihat untuk komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ladang Urban Farming Dorod Group Berhad, di sini hari ini.

Program lawatan itu turut melibatkan beberapa agensi di bawah KPKM, iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Norazman turut menggalakkan persatuan atau komuniti penduduk yang berminat untuk tampil mendapatkan bantuan daripada agensi pertanian di bawah kementerian.

"Bagi komuniti yang berminat, agensi dan badan pertanian kita sedia memberikan khidmat nasihat termasuk menentukan jenis tanaman yang sesuai dengan struktur tanah dan teknik pengurusan kebun.

"Selain itu, kerajaan juga ada menyediakan sedikit bantuan fizikal dari segi kerja-kerja penyediaan tapak dan sebagainya untuk membolehkan projek pertanian komuniti ini dimulakan," katanya.

Beliau menambah usaha memperkasakan kebun komuniti juga akan disokong dengan kemasukan teknologi moden bagi menarik minat generasi muda untuk bersama-sama membantu mengusahakan sektor itu secara lestari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.