SHAH ALAM, 4 Mei: Di kawasan perumahan pinggir bandar seperti Legenda 2, Bukit Jelutong, ruang kecil di halaman rumah semakin diberi makna baharu apabila ia menjadi titik permulaan kepada perkongsian ilmu berkebun dalam kalangan penduduk.
Menerusi program 'Interactive Session: Green Living' yang diadakan di sini, lebih 200 penduduk berhimpun dalam suasana santai bagi mendengar perkongsian berkaitan asas pertanian yang praktikal dan mudah diaplikasikan di rumah.
“Ramai ada minat, tetapi bila salah dapat panduan menanam, akan gagal separuh jalan dan terus tinggal,” kata penceramah pertanian dan pendidik komuniti Alias Saad.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan asas sebagai langkah pertama sebelum beralih kepada penggunaan teknologi.

Bermula dengan tanaman mudah
Beliau menyarankan agar mereka yang baru bermula memilih tanaman mudah sebagai langkah awal bagi membina keyakinan.
“Jika kita nak bermula, jangan tanam pokok tin atau delima yang kita tak ada ilmu, kita mula dengan pokok yang mudah,” katanya.
Antara contoh tanaman yang disyorkan termasuk bayam Brazil, lemuju dan selasih yang mudah hidup serta tidak memerlukan penjagaan rumit.
Tanaman jenis ini bukan sahaja cepat memberikan hasil, malah membantu penduduk memahami asas penjagaan seperti penyiraman, pencahayaan dan pertumbuhan pokok secara lebih praktikal.
Pendekatan ini membantu mengelakkan kegagalan awal yang sering menjadi punca minat berkebun terhenti.

Dalam masa sama, Alias menjelaskan konsep berkebun tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menghasilkan makanan semata-mata, sebaliknya boleh digabungkan dengan elemen landskap untuk mencantikkan kediaman.
“Kita jangan tanam tanaman hanya sekadar untuk kita makan, kerana itu tempat tinggal kita, jadi kita kena mencantikkan dia dalam bentuk landskap,” katanya.
Beliau mencadangkan pemilihan tanaman yang mempunyai variasi seperti daun hijau, bunga dan buah bagi menghasilkan suasana halaman yang lebih menarik.
Gabungan elemen ini bukan sahaja menjadikan ruang lebih hidup, malah memberi kepuasan kepada pemilik rumah apabila hasil tanaman dapat dimanfaatkan secara langsung.
Fahami matahari untuk berkebun
Selain itu, faktor cahaya matahari turut menjadi aspek penting yang perlu difahami, terutama bagi penduduk yang tinggal di rumah bertingkat.
“Kita nak tanam pokok, kita perlu matahari,” katanya.

Beliau menjelaskan setiap tanaman mempunyai keperluan berbeza, justeru pemilihan jenis tanaman perlu disesuaikan dengan kedudukan rumah sama ada menerima cahaya pagi, tengah hari atau petang.
Kegagalan tanaman di kawasan seperti kondominium bukan disebabkan kekurangan ruang, sebaliknya berpunca daripada kurang memahami keperluan asas tanaman.
Menurutnya, dengan sedikit ilmu dan pemerhatian terhadap persekitaran, penduduk masih mampu menanam pelbagai jenis tanaman walaupun di ruang terhad.
Dalam perkongsian sama, beliau turut menggalakkan pendekatan berkebun yang kembali kepada konsep ekosistem semula jadi dengan meniru keadaan habitat asal tanaman.
Ini termasuk memahami peranan tanah, keseimbangan mikroorganisma serta persekitaran yang menyokong pertumbuhan tanpa kebergantungan berlebihan kepada bahan kimia.

Penggunaan racun secara tidak terkawal boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan pokok kerana mengganggu proses semula jadi seperti fotosintesis.
Sebaliknya, pemahaman terhadap keperluan nutrien dan proses biologi tanaman lebih penting untuk memastikan tanaman kekal sihat.
Dalam sesi itu juga, peserta didedahkan dengan beberapa amalan praktikal termasuk pemilihan masa sesuai untuk menanam bagi membantu akar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Malah, pemilihan waktu dan kaedah penanaman yang betul mampu meningkatkan kadar kejayaan tanaman tanpa memerlukan kos yang tinggi.
Di perumahan Legenda 2, perkongsian ilmu seperti ini membuktikan bahawa ruang kecil di halaman rumah bukan sekadar tempat menghijaukan persekitaran, tetapi juga menjadi asas kepada pembentukan komuniti lebih berilmu dan berdikari.








