KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sebidang tanah gersang di tengah bandar kini bertukar wajah menjadi taman herba subur hasil inisiatif komuniti setempat, sekali gus menjadi lokasi pembelajaran hijau bagi pelajar dan pengunjung yang mahu mengenali tanaman tempatan.
Penasihat Kebun Bandar Sungai Bunus Ahmad Shamsul Hanafiah berkata projek komuniti di atas tanah seluas 1.14 ekar itu bermula secara kecil-kecilan sejak 2014 dan kini menjadi contoh kejayaan penanaman ekologi di kawasan bandar.

“Tanah yang dulunya terbiar (di pinggir kolam tadahan banjir Sungai Bunus) kini subur dengan pelbagai tanaman seperti terung, pandan, serai, belimbing, bayam dan pelbagai herba lain.
“Semua hasil tanaman bebas bahan kimia, kami amalkan teknik penanaman ekologi yang dipelajari daripada rakan-rakan kebun komuniti,” katanya kepada Media Selangor.
Ahmad Shamsul berkata demikian ketika ditemui di Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa di sini, semalam.
Menurutnya, penyertaan kali kedua Kelab Kebun Bandar Sungai Bunus dalam festival berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat bandar memanfaatkan tanah kosong di sekitar kediaman masing-masing.
“Kami mahu tunjuk bahawa sesiapa pun boleh bercucuk tanam walau tinggal di bandar. Tanah sekangkang kera pun boleh dihidupkan dengan pokok herba atau sayur-sayuran untuk kegunaan harian,” ujarnya.

Selain memupuk minat bertani dalam kalangan masyarakat bandar, beliau berkata usaha itu juga mampu mengurangkan perbelanjaan dapur dan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Kebun komuniti yang diusahakan hasil kerjasama komuniti setempat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui inisiatif Local Agenda 21 (LA21 KL) serta beberapa NGO itu turut menjadi lokasi lawatan pelajar sekolah dan kumpulan komuniti yang mahu mempelajari teknik penanaman ekologi, baja organik serta pengurusan kebun mampan.
Festival yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa selama 10 hari bermula 17 hingga 26 Oktober itu bukan sekadar pameran landskap, tetapi platform memperkasa warga kota melalui perkongsian ilmu, inovasi hijau dan gaya hidup lestari.

